Jambatan, terowong ada monorel tiada, kata Annuar

Kerajaan akan menambah baik sistem pengangkutan awam di Putrajaya yang belum sempurna, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Katanya, Putrajaya akan menyambut jubli perak esok selepas genap 25 tahun, namun sistem pengangkutan awam di kawasan berkenaan masih belum mencapai tahap sempurna.

“Esok genap 25 tahun Putrajaya, selepas 25 tahun, jubli perak tapi Putrajaya masih tanpa ‘proper, efficient public transportation’.

“Infrastruktur monorel sudah dibina, jambatannya ada, terowong pun ada tapi monorelnya tiada,” katanya ketika mengulas tahap sistem pengangkutan awam di Putrajaya yang belum sempurna.

Annuar berkata, beliau akan bertemu Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu itu.

“Kalau ada perkara lain berbangkit, kita boleh bincang juga tapi yang khususnya berbangkit tentang Putrajaya yang tidak mempunyai sistem pengangkutan awam yang teratur, sistem perkhidmatan bas juga tidak begitu sempurna.

“Perhidmatan mononorel dah bina, jambatan dah bina, terowong dah bina tapi monorelnya tiada. Jutaan wang telah dibelanjakan tapi sistem monorel masih tiada di sana.

“Kita nak bincang untuk melihat prospeknya bagaimana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Laluan Baharu Bas GoKL Parlimen Batu – Merah Manggis di PPR Kampung Batu Muda hari ini.

Laluan Merah Manggis atau Maroon Line sepanjang 15km itu akan bermula dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai, menghala ke pusat bandar dan akan melalui stesen transit LRT Sentul serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul.

Kekerapan bas untuk laluan itu adalah setiap 15 minit.

Pada Januari lalu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menyatakan projek monorel Putrajaya yang sebelum ini ditangguhkan akan diteruskan dan dijangka siap pada 2025. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker