Indonesia benar ganja, ketum jadi tanaman ubat komoditi pertanian

Share

Indonesia menetapkan tanaman ganja dan ketum sebagai salah satu tanaman ubat komoditi keluaran Kementerian Pertanian republik itu, kata laporan.

CNN Indonesia melaporkan Menteri Pertanian Syahrul Yasin Limpo menyatakan ketetapan itu termaktub dalam Keputusan Menteri Pertanian Republik Indonesia Nomor 104/KPTS/HK.140/M/2/2020 tentang Komoditi Binaan Kementerian Pertanian.

Ketetapan itu ditandatangani Syahrul sejak 3 Februari lalu.


“Komoditi binaan Kementerian Pertanian meliputi komoditi binaan Direktorat Jenderal Tanaman Pangan, Direktorat Jenderal Hortikultura, Direktorat Jenderal Perkebunan, dan Direktorat Jenderal Peternakan dan Kesehatan Hewan,” antara kata ketetapan itu.

Menurut ketetapan itu, ganja masuk ke dalam lampiran jenis tanaman ubat yang dibina oleh Direktorat Jenderal Hortikultura.

Keseluruhannya terdapat 66 jenis tanaman ubat yang dibina Ketua Pengarah Hortikultura Pertanian Indonesia.


Selain ganja dan ketum, antara jenis tanaman ubat lain yang dibenar dikeluarkan ialah kecubung dan mengkudu.

“Keputusan menteri ini mulai berlaku pada tanggal ditetapkan,” jelas ketetapan itu lagi.

Sebelum ini ganja dikelaskan sebagai dadah kelas satu di Indonesia.


Selain ganja, jenis dadah kelas satu yang lain adalah syabu, kokain, opium, heroin. Izin penggunaan terhadap dadah kelas satu hanya dibolehkan dalam hal-hal tertentu.

Undang-undang Indonesia melarang penggunaan, pengeluaran dan pengedaran dadah kelas satu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang mengeluar dan mengedar dadah kelas satu boleh dihukum penjara maksimum seumur hidup atau hukuman mati.

Sementara itu, penyalahgunaan dadah kelas satu dikelaskan sebagai jenayah yang berhadapan sabitan sehingga empat tahun penjara. Mkini

Leave a Reply