ADHD halang Sharifah Sakinah kembali pada pangkuan suami

Pelakon Sharifah Sakinah mengaku masalah Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) yang dihidapi membuatnya menolak untuk rujuk kembali bersama bekas suami ketika ini.

Bagi Sakinah, keputusan itu dibuat demi kebaikan bersama selain membuka ruang untuknya lebih mengenali diri dan memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.

“Boleh saya katakan antara punca perceraian kami adalah ADHD dan sedang jalani rawatan untuk penyakit ni.

“Saya tak boleh beri komitmen untuk menjadi seorang isteri yang baik dengan keadaan penyakit yang dihidapi.

“Saya juga tak mahu bebankan bekas suami dengan kekurangan yang ada selain tak mahu orang menuduh dia dayus lagi kerana tak berusaha mendidik saya,” katanya yang didiagnos penyakit tersebut kira-kira dua tahun lalu.

Pemilik nama penuh Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar itu ditemui ketika majlis pengenalan dirinya sebagai duta produk Whooly Fitz di Taman Wahyu, Kuala Lumpur hari ini.

Dia bercerai dengan Aliff Adha pada Mei lalu selepas berkahwin pada 2015.

Hasil perkongsian hidup dengan juruterbang itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Anais Adha, 3.

Sakinah, 31, berkata hubungannya dengan Aliff sebenarnya masih baik malah dia menyifatkan lelaki itu seorang suami yang bertanggungjawab.

“Dia bukan lelaki gatal tapi baik dan selalu memberi sokongan, cuma saya tak nak tambah dosa kerana tak dapat laksanakan tanggungjawab sekiranya masih bersama.

“Dia juga pernah menyatakan keenggannya untuk bercerai, namun biarlah saya menumpukan perhatian sepenuhnya pada kerjaya dan Anais.

“Sejujurnya, saya lega selepas berpisah namun kehidupan masih haru-biru dalam proses penyesuaian selepas bercerai dengan bekas suami,” kata pelakon drama Girlfriend Aku Dari Neraka itu.

Katanya lagi, apa yang paling menyedihkan bagi dirinya apabila anaknya ada memberikan bayangan seolah-olah ingin mereka kembali bersatu.

“Anais sering menitiskan air mata apabila berjumpa dengan bapanya dan sering meletakkan tangan kami bersama-sama,” katanya yang memberitahu dia mendapat hak jagaan untuk Anais.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker