Perdana Menteri mana yang hentikan suntikan dana kepada Felda, soal Najib

Share

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang paling banyak membantu masyarakat Felda dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

Sehubungan itu beliau menyifatkan, dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Felda berhadapan dengan pelbagai masalah ketika di bawah pemerintahan BN (semasa Najib menjadi Perdana Menteri) adalah tidak benar sama sekali.

‘’Pada tahun 1996, Perdana Menteri dan Kabinet pada masa itu membuat keputusan bahawa tidak digunakan lagi dana kerajaan untuk Felda, siapa Perdana Menteri pada tahun 1996? Ini dia tak cerita kepada tuan-tuan. Sepatutnya kerajaan terus memberi dana kepada Felda (tapi) dia kata, Felda kena cari dana sendiri,’’ katanya.


Beliau berkata demikian ketika menghadiri minum pagi bersama masyarakat Felda Besout 3, di sini hari ini. Ia merupakan antara program berkempen bekas Perdana Menteri itu bagi membantu calon BN untuk Pilihan Raya Kecil DUN Slim, esok.

Dr.Mahathir ketika berkempen di kawasan tanah rancangan itu semalam mendakwa peneroka dan Felda menghadapi pelbagai masalah ketika kerajaan BN dipimpin oleh Najib.

Najib seterusnya menjelaskan, apabila menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri, beliau dapati jika Felda tidak diberi suntikan dana, agensi itu akan hadapi masalah utama iaitu pokok-pokok sudah tua, oleh itu program tanam semula perlu dilaksanakan.


“ Kalau kita tak buat tanaman semula, dalam masa 10 tahun hingga 20 tahun Felda akan pupus, apabila kita mahu melakukan tanah semula kita kena bayar sara hidup, macam mana peneroka nak hidup kalau pokok tak mengeluarkan hasil?’’ katanya.

Tegas Najib, berikutan keputusan Dr.Mahathir bahawa kerajaan jangan memberi dana kepada Felda, kerajaan BN terpaksa mencari dana sendiri dengan menyenaraikan Felda Global Venture (FGV).

Baca juga… Tuan Ibrahim garis tiga asas utama jamin Muafakat Nasional kekal
‘’Apabila disenaraikan, ada la dana untuk tanaman semula manakala sebahagian dana lagi diberi kepada peneroka,’’ katanya.


Bekas Perdana Menteri tersebut menegaskan, pada zaman BN, peneroka Felda mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan.

‘’Pelbagai bantuan kita berikan termasuk pinjaman perumahan tanpa faedah, BR1M dan lain-lain,’’ katanya.

Najib juga berkata, tindakan kerajaan BN memberi bantuan secara tunai kepada rakyat bukanlah bermakna ‘Cash Is King.

‘’ Itu cara paling mudah kita tolong rakyat, bila dapat duit terserah kepada mereka untuk beli apapun,’’ katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut meminta pengundi menolak calon parti Pejuang di bawah kepemimpinan Dr.Mahathir yang bertanding atas tiket Bebas kerana Dr.Mahathir pernah menyatakan orang Melayu akan berpecah jika banyak parti baharu ditubuhkan.

‘’Tetapi sekarang siapa yang tubuh parti baharu. Oleh itu, jika kita tidak mahu orang Melayu berpecah belah, sokonglah calon Barisan (Nasional) kita,’’ katanya. Edisi9

Leave a Reply