Pemimpin Bersatu berang serangan berterusan pemimpin Umno

Pemimpin pusat Bersatu Rais Hussin menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap serangan berterusan pemimpin Umno terhadap partinya.

“Kamu serang Bersatu tanpa henti. Kamu patut hargai bahawa Bersatu yang membolehkan Umno kembali mendapat kuasa,” kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu.

LUPAKAH KAMU YANG MENYERANG DAN MEMFITNAH UMNO DULU DENGAN BERBAGAI CARA.

“Umno juga memungkinkan kewujudan PN pada masa itu, dengan air mata kegembiraan.”



Rais menyatakan pendirian itu ketika menjawab tulisan Naib Presiden Umno Khaled Nordin yang mengucapkan tahniah kepada MIC kerana keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu.

Khaled di Twitter pagi ini mengucapkan tahniah kepada MIC kerana membatalkan hasrat menyertai PN.

Katanya, Bersatu sebagai parti teras PN tidak lagi memerlukan sokongan MIC dan MCA kerana sudah membuka keanggotaan kepada golongan bukan Melayu.

Dia juga dilihat mengeluarkan kenyataan keras, dipercayai merujuk kepada Bersatu: “Dulu curi ahli Parlimen, sekarang nak umpan parti gabungan BN pula.”



Malaysiakini semalam melaporkan MIC telah menghantar surat menarik diri daripada PN setelah sekutu lamanya Umno membuat keputusan tidak menyertai gabungan itu.

‘Cukupkan politiking’

Sementara itu, Rais juga menggesa Khaled menumpukan usaha kepada berkhidmat kepada rakyat dan memperkukuh PN.

“Kenapa serang Bersatu tanpa henti? Kukuhkan gabungan untuk berkhidmat pada rakyat.



“Cukuplah politiking tanpa henti,” katanya.

Kerjasama Bersatu-Umno menjadi perhatian selepas Presiden Umno Zahid Hamidi berkata tidak akan menyertai PN, sebaliknya menyatakan komitmen terhadap BN dan Muafakat Nasional (MN) – gabungan baru Melayu-Islam bersama PAS.

Bersatu sebelum ini membuat keputusan untuk menyertai BN tetapi presidennya Muhyiddin Yassin berkata PN akan menjadi gabungan besar dengan kemasukan MN ke dalam gabungan itu.

Bagaimanapun, keadaan semasa berkaitan penyertaan belum jelas susulan keputusan terkini Bersatu menerima keanggotaan bukan Melayu.



Dua minggu lalu, Khalid berkata keputusan Bersatu menyertai MN tidak harus dijadikan alasan untuk mendesak Umno menyertai PN.

Jun lalu, Khaled berkata Umno tidak harus dijadikan talian hayat oleh mana-mana parti atau individu. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker