Tindakan tak bijak Shafie punca Filipina terus tuntut Sabah – Anifah

Share

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan beliau sentiasa berpegang teguh pada pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa yang menetapkan Sabah adalah sebahagian dari Malaysia sejak 16 September 1963.

“Kerana itu juga, Filipina tidak begitu berani lantang dalam menuntut Sabah semasa saya menjadi Menteri Luar.

“Tetapi sangat mengecewakan, menyedihkan apabila hari ini kerana kealpaan Menteri Sementara Sabah (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) ini sendiri terutamanya dalam hal ehwal diplomasi telah secara tidak langsung membuka ruang kepada Filipina membuat tuntutan ke atas Sabah secara berani dan terbuka seperti hari ini.


“Filipina boleh buat sedemikian hari ini kerana Mohd Shafie rela mengadakan rundingan dengan negara itu. Tindakan ini secara tidak langsung telah mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah.

“Sebenarnya apakah ianya satu keperluan untuk berunding jika apa yang dituntut itu tidak berasas sama sekali? Sabah adalah milik Malaysia sejak Perjanjian Malaysia 1963 termeterai.

“Ini juga adalah sebab mengapa saya tidak layan mahupun adakan sebarang rundingan atau perbincangan, sesi dialog atau apa sahaja dalam isu ini. Ingat, Sabah ada sebahagian daripada kita, Malaysia.


“Tidak ada sebarang keperluan rundingan mahupun mengiyakan sebarang tuntutan melampau lagi tidak berasas seperti ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Luah Anifah lagi, tindakan Mohd Shafie yang membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara di Sepanyol itu sendiri telah memberi peluang kepada Filipina untuk ‘merampas’ Sabah dari peta Malaysia.

“Ini adalah satu kesilapan dan kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku, seseorang yang berjawatan ketua menteri perlu fikir masak-masak sebelum melakukan sesuatu yang langsung tidak menonjolkan hak kepentingan Sabah ini terjaga sebenarnya.


“Tindakan Mohd Shafie ini seperti memperjudikan masa depan Sabah dan mengadai kedaulatan Sabah kepada keputusan yang bakal diberikan oleh mahkamah ini kelak.

“Apakah tindakan seterusnya oleh Mohd Shafie seandainya Mahkamah Timbang Tara ini lebih cenderung untuk memihak kepada Filipina kerana hujah mereka nanti?

“Jika yang mewakili Sabah itu nanti ‘lemah’ dalam mengemukakan hujah, apakah akan terjadi seterusnya?

“Sejarah pastinya akan mengukir nama Mohd Shafie sebagai orang yang membawa Sabah keluar daripada Malaysia, saya hendak tanya adakah itu yang anda idam-idamkan wahai Mohd Shafie?” soal Anifah.

Dalam pada itu, beliau tahu Mohd. Shafie tidak akan akan membalas dakwaannya dan hanya akan memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Dalam pada itu, Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) memberi kata dua nasihat kepada Mohd Shafie yang didakwanya masih lagi memasang angan-angan untuk terus memegang jawatan Ketua Menteri Sabah.

Kata Anifah, adalah lebih baik Mohd Shafie mengambil kursus diplomasi selain belajar topik-topik penting seperti geo politik bagi pemahamaan serta peka dengan perkembangan di rantau ini juga arena antarabangsa.

“Itu amat penting, anda perlu tahu semua itu. Jangan asyik main politik sahaja jika kamu langsung tidak faham isu-isu penting melibatkan negeri ini.

“Jika tidak, biarkan sahaja mereka yang lebih arif dengan hal ehwal Sabah mentadbir negeri ini demi rakyat dan bukannya kepentingan peribadi,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Leave a Reply