Saya dan Rahman ok, musuh kami Warisan – Bung

Share

Musuh Saya Dan Rahman Adalah Warisan Kata Bung

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan pihaknya mempunyai krisis dengan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Bung ketika ditemui berkata, pihaknya menghormati pandangan Abdul Rahman terhadap dirinya.


“Saya tak ada isu dengan Rahman, ‘no hard feeling’ sebab saya hormati pandangan yang berbeza.

“Isu yang lebih jelas ialah kami hadapi musuh yang satu iaitu Warisan,” katanya.

Bung berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai krisis dalaman antara dirinya bersama Abdul Rahman yang membantah keras pelantikannya sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Sabah.


Sebelum ini, Abdul Rahman mengadakan sidang media bersama 12 pemimpin UMNO negeri bagi menyatakan bantahan terhadap pelantikan Bung Moktar yang disifatkan sebagai tidak sesuai kerana berdepan kes mahkamah.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kinabatangan itu menjelaskan tidak terkesan dengan tindakan Abdul Rahman sambil menegaskan persiapan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) adalah menjadi keutamaan.

Beliau berkata hanya mahu menumpukan usaha memantapkan jentera parti di semua bahagian UMNO di Sabah bagi memenangi PRN.


“Apa yang lebih penting ialah persediaan untuk menghadapi PRN.

“Masalah ini tidak dinafikan menjejaskan kita tapi kita akan baiki, buat tinjauan dan InsyaAllah ia tidak buat gangguan besar terhadap kempen kita,” katanya lagi.

Mengenai calon yang bakal ditampilkan kali ini, kata beliau, sebanyak 85 peratus adalah calon-calon muda, sekali gus merupakan kelainan yang ditonjolkan UMNO Sabah.

“Ada juga yang berumur tetapi rata-rata calon-calon ini adalah yang bertanding buat kali pertama,” ujarnya. – SuaraTV

Leave a Reply