‘Saman RM10 juta aku boleh bayar, lelaki tengking anggota JPJ’

KUALA NERUS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat laporan polis dalam kejadian seorang lelaki menengking anggota JPJ dengan mengatakan mampu membayar saman walaupun RM10 juta susulan tidak berpuas hati selepas kereta miliknya ditahan untuk pemeriksaan dalam sekatan jalan raya di Jalan Teluk Ketapang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu, kereta jenis BMW yang dinaiki seorang lelaki bersama pemandunya ditahan untuk pemeriksaan selepas didapati tidak mempamerkan cukai jalan serta memiliki cermin gelap.

“Pemandunya memberhentikan kereta tersebut dan keluar dari kenderaan itu. Semasa petugas JPJ berkenaan memberi penjelasan, seorang lelaki iaitu suspek keluar dari kenderaan yang sama lalu menengking anggota bertugas dengan mengeluarkan kata-kata kesat berbentuk penghinaan. Suspek kata ‘tulis lah cepat sikit, saya banyak kerja lagi. Kalau setakat hendak saman RM10,000, RM10 juta aku boleh bayar’ kepada anggota itu.

“Beberapa minit kemudian, di hadapan anggota bertugas, suspek dikatakan menghubungi seseorang disyaki kenalannya mengadu perihal tindakan yang dikenakan terhadap kenderaan miliknya. Selepas itu, dalam keadaan marah, suspek menghampiri anggota bertugas dan bertindak menolaknya sambil berkata ‘mung tak kenal aku, mung tunggu lah lepas ni (kau tak kenal aku, kau tunggu lah lepas ni),” kata sumber kepada Sinar Harian.

Menurut sumber lagi, situasi tegang berlaku dan pegawai bertugas cuba masuk campur sebelum cuba sekali lagi menjelaskan tindakan yang diambil pihaknya tetapi tidak diendahkan oleh suspek.

“Malah suspek dikatakan bertindak lebih agresif dengan cuba sekali lagi menolak anggota bertugas tetapi sempat dihalang pemandunya yang berada berhampiran. Kemudian, suspek mengajak pemandunya itu meninggalkan lokasi tanpa mengambil sebarang notis saman yang sudah dikeluarkan,” katanya.

Tambah sumber, pegawai bertugas mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya kerana bimbang keselamatan anggotanya selepas ini selain ingin menjaga maruah JPJ sekali gus untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya jangan biadab apabila berdepan dengan anggota beruniform yang sedang menjalankan tanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh pegawai JPJ berkenaan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker