RM495.4 juta disalurkan kepada 9.9 juta penerima ePenjana – Shahar

Sebanyak RM495.4 juta telah berjaya disalurkan kepada 9.9 juta penerima kredit ePenjana di seluruh negara sehingga 21 Ogos lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata permohonan untuk ePenjana telah dibuka sejak 31 Julai 2020 hingga 24 Sept 2020 dan kredit yang diterima oleh pengguna kredit tersebut perlu dibelanjakan sebelum 30 Sept, 2020.

“Berkaitan data privasi, kita tidak perlu risau kerana semasa memohon, terma dan syarat adalah sama.

“Cuma kali ini, kita meletakkan syarat tambahan iaitu mereka perlu menggunakan aplikasi MySejahtera dan semua data privasi tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Wong Shu Qi (DAP-Kluang) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah pemohon yang telah berjaya menebus e-Tunai RM50 sehingga 30 Jun 2020.

Program ePenjana adalah inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk merangsang perbelanjaan pengguna, menggalakkan amalan keselamatan melalui pembayaran tanpa sentuh untuk mengawasi penularan COVID-19 melalui penggunaan aplikasi MySejahtera.

Kerajaan akan mengkreditkan ePenjana bernilai RM50 yang boleh digunakan untuk pembelian melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terpilih iaitu Touch ‘n’ Go eWallet, GrabPay dan Boost.

Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), Mohd Shahar berkata kerajaan perlu melihat kepada keadaan kewangan semasa untuk melaksanakan Bantuan Prihatin Nasional 2.0.

“Memang ada permintaan untuk kita melaksanakan Bantuan Prihatin Nasional 2.0 tetapi kerajaan juga harus melihat kepada keadaan kewangan semasa.

“Sekiranya kita berpandangan ia harus dilaksanakan pada masa akan datang, kita akan laksanakan,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker