Kluster Tawar: Kedah usul laksana larangan rentas sempadan

Kerajaan negeri mengusulkan cadangan kepada kerajaan Persekutuan supaya melaksanakan larangan merentas sempadan daerah susulan penularan Kluster Tawar di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri berharap cadangan itu dipertimbangkan sebaiknya memandangkan kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk mengumumkan pelaksanaan terbabit.

Katanya, semalam pihaknya telah menyatakan cadangan terbabit namun tiada pengumuman dibuat mengenainya.

“Jadi kita hantar cadangan yang sama untuk dipertimbangkan sekali lagi dan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memanggil KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mesyuarat dengan segera,” katanya ketika sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Yayasan Islam Kedah berkenaan penajaan biasiswa dan pinjaman pendidikan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurutnya,larangan merentas sempadan itu akan mempunyai beberapa peraturan yang harus dipatuhi oleh penduduk setempat.

“Dalam kawasan itu boleh keluar, boleh berniaga cuma dia tak boleh rentas ke kawasan lain. Sebabnya kita nampak Kluster Tawar ini dah merebak ke banyak tempat.

“Orang Baling duduk dalam Baling saja, senang kita nak kawal penularan wabak koronavirus (Covid-19). Tapi apa pun kita kena tunggu kelulusan Persekutuan. Kerajaan negeri tiada kuasa dalam bidang ini, kita cuma mencadangkan,” kata beliau lagi.

KKM hari ini mengesahkan terdapat tiga kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar yang menjadikan jumlah kes positif dalam kluster ini sebanyak 73 kes. Sehingga jam 12 tengah hari tadi seramai 4,051 orang telah disaring dalam kluster tersebut. Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker