Kewangan Islam yang dikawal selia

INDUSTRI kewangan Islam di Malaysia adalah sebuah industri yang dikawal selia. Bagi sektor perbankan Islam dan takaful, ia dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Sementara sektor pasaran modal Islam pula dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Kedua-dua pengawal selia tersebut telah memperkenalkan rangka kerja pengawalseliaan dan penyeliaan yang baik dan mantap.

Rangka kerja tersebut sangat penting bukan sahaja untuk mengekalkan kestabilan kewangan tetapi dalam konteks kewangan Islam, ia sangat perlu untuk memastikan produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi yang berada di bawah kawal selia masing-masing bukan sahaja berdaya saing tetapi selari dengan ketetapan dan prinsip syariah.

Dalam sektor perbankan dan takaful, misalnya, Parlimen telah meluluskan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI 2013).

Akta itu mula berkuat kuasa pada 30 Jun 2013. Akta itu mengandungi rangka kerja pengawalseliaan bagi sektor kewangan Islam di Malaysia. Objektif utamanya adalah untuk mengukuhkan kestabilan kewangan dan pematuhan syariah.

APKI 2013 memperuntukkan bahagian khas yang berkaitan dengan kehendak syariah iaitu pada Bahagian IV yang merangkumi pematuhan syariah dan tadbir urus syariah.

Antara perkara berkaitan tadbir urus syariah yang dinyatakan adalah berkenaan penubuhan jawatankuasa syariah iaitu dalam Seksyen 30.

Berdasarkan Seksyen 30 tersebut, menjadi kewajipan institusi kewangan Islam (IKI) yang dilesenkan mengikut APKI 2013 untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa syariah.

Peranannya adalah untuk menasihati IKI berkenaan bagi memastikan perniagaan, hal ehwal dan aktiviti yang dijalankan mematuhi syariah.

Bagi memperkemaskan lagi tadbir urus syariah, pada tahun 2019 BNM telah menerbitkan Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah 2019 yang menggantikan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah 2010.

Dalam Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah 2019 dinyatakan secara terperinci tugas dan tanggungjawab jawatankuasa syariah.

Antara tugas jawatankuasa syariah termasuklah:

a) Memberikan keputusan atau nasihat kepada IKI mengenai pelaksanaan sebarang keputusan Majlis Penasihat Syariah (MPS) atau standard syariah yang diaplikasi dalam operasi, perniagaan, urusan dan aktiviti IKI;

b) Memberikan keputusan atau nasihat mengenai hal-hal yang memerlukan rujukan dibuat kepada MPS;

c) Memberikan keputusan atau nasihat berhubung operasi, perniagaan, urusan dan aktiviti IKI yang boleh mencetuskan situasi ketidakpatuhan syariah;

d) Menimbang serta mengesahkan penemuan unsur ketidakpatuhan syariah oleh mana-mana pihak yang mempunyai fungsi yang berkaitan;

e) Mengesahkan langkah pembetulan dalam menangani situasi ketidakpatuhan syariah.

Tanggungjawab itu bukanlah satu tugas yang ringan sebenarnya. Kegagalan jawatankuasa syariah menjalankan tugasnya sebagaimana yang dikehendaki dalam APKI 2013 dan Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah 2019 akan membawa kepada hukuman yang berat jika disabitkan.

Oleh itu, berdasarkan kepada peruntukan dalam APKI 2013 dan Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah 2019, agak sukar bagi sesebuah jawatankuasa syariah untuk mengambil mudah dengan tugas dan tanggungjawab mereka.

Dalam memberi keputusan, mereka hendaklah mengikut prosedur yang ditetapkan dan dipersetujui dan semua prosedur itu hendaklah dinyatakan dalam piagam jawatankuasa syariah yang mula diwajibkan pada 2019 sebagaimana yang dinyatakan dalam Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah 2019.

Akhir kalam, dengan adanya rangka kerja penyeliaan serta tadbir urus syariah yang mantap, sepatutnya orang ramai menaruh keyakinan terhadap kepatuhan kewangan Islam di Malaysia dengan syariah. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker