Bezanya Turki dengan UAE

Share

HANYA dalam tempoh seminggu terdapat dua peristiwa geopolitik yang jelas memberi pengajaran kepada kita tentang kemuliaan dan kehinaan kekuasaan.

Peristiwa pertama melibatkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengiktiraf Israel dan mewujudkan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu.

Peristiwa kedua adalah penemuan gas terbesar di Laut Hitam dalam sejarah Turki yang bakal menamatkan kebergantungannya kepada import tenaga dari negara asing.


Berkenaan peristiwa pertama, pengumuman UAE tersebut menjadikan Abu Dhabi sebagai negara Arab ketiga yang mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir (1979) dan Jordan (1994).

Malah, UAE bukan saja mengiktiraf Israel, tetapi juga sudah bersetuju untuk membuka kedutaan di Israel dan membenarkan Israel untuk membuka kedutaan di negara mereka.

Sebagai timbal balas, Israel berjanji kononnya akan ‘menangguhkan’ rancangan mereka untuk mengilhak (annex) Tebing Barat Palestin – satu rancangan yang mendapat restu dan sokongan kuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang turut menaja pelan Deal of the Century.


Akan tetapi, apa yang rejim Zionis itu lakukan? Mereka sebaliknya bertindak mengebom Palestin setiap hari sejak UAE mengumumkan normalisasi hubungan diplomatik dengan Israel.

Zionis Israel tentulah menganggap perkembangan itu sebagai kejayaan besar bagi mereka mengekalkan wilayah Palestin yang telah mereka rampas secara haram melalui Perang 1967.

Perkembangan itu turut memberi kesan kepada perjuangan Palestin untuk bernegara, mempertahankan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka, apatah lagi untuk mendapatkan kembali wilayah mereka yang telah dirampas sejak 1948 dan 1967.


Bukan lagi rahsia, UAE sememangnya berkongsi pelbagai kepentingan dan pendirian Asia Barat kontemporari dengan Israel antaranya memusuhi Ikhwan Muslimin (yang berjaya ditumbangkan menerusi rampasan kuasa Mesir pada 2013).

Malah, UAE didakwa Turki sebagai bertanggungjawab menaja cubaan rampasan kuasa tentera yang gagal menjatuhkan kerajaan Islamis pimpinan Erdogan pada Julai 2016.

Tekanan

Kurang seminggu selepas tindakan UAE itu, penemuan simpanan gas berlaku di wilayah Turki, tepat pada saat Turki diserang hebat dari pelbagai segi kerana pendirian Islamis kerajaan pimpinan Erdogan di pentas antarabangsa.

Antara pendirian Turki itu adalah mengembalikan status Ayasofya warisan Sultan Muhammad al-Fatih sebagai masjid serta menentang tindakan UAE untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel.

Mata wang Lira Turki juga berada dalam keadaan tekanan khususnya selepas AS mengenakan beberapa sekatan ke atas Turki.

Malah, Turki juga disingkir daripada projek pesawat pejuang F-35 dari AS hingga kerugian tidak kurang setengah bilion dolar Anerika semata-mata kerana membeli sistem pertahanan udara S-400 dari Rusia.

Namun begitu, segala tekanan itu tidak menghalang Turki pimpinan Erdogan untuk terus memelihara tiga juta pelarian Syria dalam negaranya.

Segala sekatan dan tekanan ini juga tidak menghalang Turki daripada terus menaja pelbagai biasiswa pelbagai peringkat pendidikan kepada warga bukan Turki termasuklah rakyat Malaysia dan negara-negara Islam dan bukan Islam lain.

Lebih simbolik, penemuan 320 bilion meter padu gas di Laut Hitam itu dilakukan oleh kapal bernama Fatih – sempena gelaran nama penguasa Uthmaniyyah yang menakluki Constantinople, Sultan Muhammad al-Fatih.

Sebelum ini Turki bergantung pada bekalan dari Rusia dan Iran di mana tahun lalu sahaja import tenaga Turki adalah bernilai sebanyak AS$41 bilion.

Penemuan gas itu bakal memberi impak besar bukan sahaja ke atas trajektori kuasa ekonomi, tetapi juga kuasa politik dan ketenteraan Turki. Ternyata, perbandingan Turki dengan UAE ibarat langit dan bumi.

Berita UAE mengiktiraf Israel dikecam hebat, manakala berita penemuan simpanan gas Turki disambut gembira oleh umat Islam di seluruh dunia.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

Leave a Reply