‘Bersatu tidak akan bertahan lama kerana aniaya Dr Mahathir’ – Marzuki

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan bertahan lama kerana tindakan pemimpinnya menganiaya pengasas parti tersebut, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Presiden parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya berkata, usia Bersatu juga masih muda dan belum mencapai usia lima tahun.

“Sejarah penubuhan Bersatu masih rapuh dan orang masih tidak dapat melupakan apa yang berlaku. Ramai ahli yang menyertai parti itu sebelum ini adalah atas dasar yakin dan percaya kepada perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebab beliau adalah pengasasnya.

“Tetapi apabila beliau (Dr Mahathir) dilucutkan keahlian, mereka melihat Bersatu menganiayai pengasasnya sendiri dan saya yakin disebabkan itu Bersatu hanya akan tinggal nama,” katanya ketika sesi temu bual di Sinar Live di sini semalam.

Marzuki berkata, lebih menyedihkan apabila Bersatu ini ibarat sudah dirampas (hijack) sebanyak dua kali oleh kumpulan baharu yang menyertainya.

Sebelum ini katanya, ia ‘dirampas’ oleh kumpulan UMNO yang keluar parti dan bergerak sebagai bebas tetapi kemudiannya memohon untuk masuk Bersatu.

“Atas dasar mereka datang dan ingin bersama dan membantu Dr Mahathir, mereka diterima tapi kita tak tahu mereka nak buat begini.

“Kemudian datang kumpulan kedua daripada serpihan PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merampas ‘Bersatu’. Jadi, untuk mengekalkan kekuatan yang ada dalam Bersatu, maka parti itu kini terpaksa ikut corak dalam PKR iaitu menjadikan Bersatu sebagai parti berbilang kaum dan lari daripada parti berteraskan kemelayuan,” katanya.

Tambahnya, disebabkan itu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebut mereka akan mengadakan atau memberi jawatan Naib Presiden Bersatu kepada Mohamed Azmin.

“Namun sebenarnya dalam Perlembagaan Bersatu hanya ada tiga jawatan naib presiden, tak boleh buat empat. Seharusnya, Ahmad Faizal selaku timbalan presiden kaji dahulu perlembagaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Tapi saya nak cadangkan memandangkan ada jawatan kosong iaitu Pengerusi Bersatu, apa kata berilah kepada Mohamed Azmin sebab Bersatu nak buka parti kepada pelbagai kaum, sesuai untuk beliau jadi pengerusi Bersatu,” katanya. Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker