Tonjol kehebatan Kota Kuala Kedah

Share

PERANG Kedah-Siam yang bermula pada 12 November 1821 berikutan serangan mengejut angkatan Raja Ligor terhadap Kota Kuala Kedah menggunakan taktik muslihat menyaksikan perang berpanjangan dua kerajaan yang berlanjutan selama 21 tahun.

Dikenali juga sebagai Perang Musuh Bisik, perang ini membabitkan penyatuan angkatan beberapa kerajaan Melayu yang bergabung dengan kepimpinan Kedah bagi menewaskan Siam.

Saksi perang yang telah menumpahkan darah puluhan ribu pejuang ini ialah Kota Kuala Kedah iaitu benteng batu-bata yang kini menempatkan sebuah muzium.


Terletak bersebelahan dengan jeti Kuala Kedah yang merupakan pintu masuk ke pulau peranginan Langkawi, malangnya tidak ramai yang melihat kota berusia lebih 300 tahun ini sebagai monumen sejarah penting.

Berbeza dengan Kota A Famosa yang dibina selepas penjajah Portugis menjatuhkan pemerintahan Kesultanan Melaka, sebaliknya Kota Kuala Kedah menjadi saksi panjang perjuangan orang-orang Melayu untuk mengusir penjajah Siam.

Kota ini menjadi pusat pemerintahan Sultan Ahmad Tajudin Halim Shah II iaitu Sultan Kedah ke-22 (1804-1845) dan semasa pemerintahan baginda, kota ini diserang tentera Siam.


Sebanyak empat serangan balas dilancarkan oleh angkatan perang Kedah bagi menguasai dan mengawal semula kota tersebut sepanjang penjajahan ini.

Serangan pertama dilakukan pada tahun 1826, diikuti tahun 1829, 1831 dengan serangan terbesar dilancarkan pada tahun 1838.

Anak saudara Sultan, Tunku Muhammad Saad mengetuai angkatan 10,000 askar dan 50 perahu perang dilengkapi meriam ringan berjaya mengusir Siam keluar dari Kedah melepasi Singora.


Malangnya, serangan balas 15,000 tentera Siam dari Bangkok memaksa Tunku Muhammad Saad berundur dan bertahan di Kota Kuala Kedah sebelum tewas.

Tindakan Inggeris yang enggan memberi bantuan kepada angkatan Kedah seperti dijanjikan juga dipercayai sengaja dibuat dalam usaha licik mereka untuk menaikkan Pulau Pinang sebagai bandar pelabuhan utama menggantikan Kuala Kedah.

Pada 31 Ogos 1978, kota ini telah diwartakan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti sebagai tapak bersejarah mengikut Akta Benda Purba 1976 di bawah Akta 165.

Berdasarkan reka bentuk kota yang mempunyai lubang-lubang untuk menempatkan senjata api dan meriam menunjukkan ia dibina mengikut ciri-ciri kota pertahanan kukuh pada zamannya.

Penggunaan meriam dan serbuk peledak turut membuktikan angkatan Kedah ketika itu memiliki persenjataan moden dan setanding dengan tentera kerajaan serantau.

Sekurang-kurangnya terdapat lima pucuk meriam lama tinggalan Perang Kedah-Siam di kota ini yang kedudukannya menghadap ke laut termasuklah meriam Badak Berendam dan meriam Katak Puru.

Sehubungan itu selain daripada aspek sejarah berbentuk warisan, pihak-pihak berkepentingan juga perlu mengkaji Kota Kuala Kedah daripada perspektif strategi dan taktik peperangan Melayu kuno.

Begitu juga kajian tentang susunan angkatan perang Kedah serta pemikiran taktikal panglima-panglima pimpinan Tunku Muhammad Saad sehingga dapat menewaskan tentera Siam yang bukan calang-calang.

Sekiranya ada pengkajian sebegini yang kemudian hasilnya dipamerkan untuk pengetahuan generasi muda, nescaya ia dapat membuka mata dan minda apabila gambaran terperinci kehebatan perjuangan pahlawan Melayu digambarkan.

Kolaborasi pelbagai agensi berkaitan khususnya Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Muzium Kedah, kerajaan Kedah serta penyelidik bebas yang berpengetahuan boleh menonjolkan kehebatan kota bersejarah ini.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu

Leave a Reply