Didik generasi muda tapis maklumat media sosial

LEDAKAN teknologi maklumat dengan kelahiran internet dan perkembangan media sosial membentuk satu revolusi yang mengubah segalanya.

Dengan perkembangan teknologi dan telekomunikasi yang menjadikan akses internet lebih murah, laju, canggih dan mudah, menyebabkan sumber maklumat beralih daripada arus perdana iaitu radio, surat khabar dan televisyen kepada dapatan maklumat di hujung jari dengan kecanggihan komputer dan telefon pintar yang menjadi pilihan ramai mutakhir ini.

Orang ramai tidak perlu menunggu di hadapan televisyen dan radio untuk mendengar berita terkini. Majoriti memiliki telefon bimbit pintar yang boleh dibawa ke mana sahaja.

Revolusi maklumat berlaku membawa cabaran besar kepada semua.



Pada era maklumat diperoleh daripada media arus perdana, kerajaan masih boleh mengawal aliran maklumat dengan mudah.

Jika ada radio, televisyen atau surat khabar yang menyalurkan maklumat palsu atau informasi mendatangkan kesan buruk kepada negara, peringatan boleh diberikan dan lesen boleh dibatalkan jika perlu.

Berbeza media sosial dengan sumber maklumat yang datang bukan daripada organisasi dilesenkan. Sesiapa sahaja boleh menyebarkan maklumat, termasuk berita palsu.

Sesiapa sahaja boleh mewujudkan akaun media sosial dan mempunyai pembaca menjangkaui ke angka juta.



Seperti radio, televisyen dan surat khabar mahupun majalah, media sosial menyebarkan maklumat kepada orang awam. Perbezaannya cuma mereka tidak perlukan sebarang permit atau lesen untuk beroperasi.

Realiti terjadi adalah maklumat di media sosial lebih pantas disebar luas dan mempunyai jumlah pembaca yang jauh mengatasi media perdana.

Untuk memastikan diri mereka kekal relevan, media perdana lantas turut serta dalam media sosial.

Menidakkan realiti hanya akan menempah diri mereka untuk pupus daripada industri komunikasi dan maklumat yang semakin mencabar ini. Sama ada akan gulung tikar atau diambil pemilik baharu yang akan segera melakukan tindakan penting beradaptasi kepada dunia media sosial, itulah realitinya.



Realiti baharu dunia maklumat juga menyaksikan berita palsu tersebar lebih pantas daripada sebaran tipikal sebelumnya – perbualan orang ramai yang disampaikan daripada mulut ke mulut.

Dalam masa sejam, maklumat palsu boleh tersebar jauh merentasi radius jarak ratusan kilometer yang sampai kepada ratusan ribu orang.

Selain cabaran sebaran maklumat palsu, doktrin atau ideologi ekstrem kini jauh lebih mudah digerakkan sebagai satu propaganda cukup terancang.

Kita melihat hasil kepantasan dunia maklumat ini yang membentuk gerakan ekstrem Daesh yang sangat radikal, ganas dan kejam merekrut ahli mereka dari serata dunia, termasuk Malaysia yang kemudian menawan sebahagian besar wilayah di Iraq dan Syria.



Cabaran besar ini mendesak kita bertindak. Orang awam perlu dipimpin dan dididik sejak di sekolah rendah berkaitan dunia maklumat tanpa sempadan.

Pendidikan memproses dan menapis maklumat perlu diterapkan dengan pelbagai teknik mengenal pasti maklumat yang sahih atau palsu untuk diaplikasi dalam kehidupan seharian.

Pelajar sekolah wajar didedahkan pautan laman web kerajaan pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan sebagai satu bentuk latihan membiasakan diri menjadikan sumber maklumat daripada kerajaan sebagai rujukan utama.

Rentetan itu, setiap laman web kerajaan perlu ditambah baik dalam mewujudkan seksyen khas untuk kanak-kanak dalam memberi ruang kepada mereka melayarinya secara santai dan menyeronokkan.



Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker