Semalam bekas KP Selangor lapor polis, hari ini saya pula disiasat – Jamal

Datuk Seri Jamal Md Yunos melahirkan rasa kesal apabila gesaan beliau sebelum ini supaya Bukit Aman menyiasat kekayaan bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat kini memakan dirinya.

Lebih menghairankan apabila Jamal pula dipanggil untuk diambil keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta SKMM berhubung kenyataannya secara langsung di Facebook miliknya pada 19 Ogos lalu.

“Saya ingat saya dipanggil kerana memorandum yang saya serahkan kepada pihak Ketua Polis Negara, rupanya saya disiasat kerana kenyataan-kenyataan saya ketika saya menyerahkan memorandum itu dalam sidang media dan Live Facebook saya.

“Setelah saya membuat kenyataan sidang media, hari sama di sebelah pagi itu, bekas Ketua Polis Selangor Datuk Seri telah membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Dengan laporan polis Abdul Samah itu rupanya hari ini saya perlu memberi keterangan di Bukit Aman,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Bukit Aman, malam ini.

Terdahulu Jamal bersama dua peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Hafiz Norkhan hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kira-kira jam 4.10 petang tadi.

Bagaimanapun selepas hampir empat jam, kira-kira 8.05 malam tadi Jamal yang juga Bendahari Badan Perhubungan UMNO Selangor selesai memberi keterangan dengan ditemani dua peguamnya itu.

Dalam pada itu, Jamal berharap Bukit Aman tidak melindungi mana-mana anggota dan pegawai polis jika terlibat bersengkongkol atau melindungi taukeh-taukeh judi haram di negara ini.

“Saya berharap pendedahan untuk rakyat negara ini perlu diberi perhatian dan keadilan, disiasat dengan telus.

“Janganlah melindungi sesetengah pihak dan ada pihak lain yang dizalimi,” katanya.

Jamal turut mendakwa, pendedahan beliau mengenai premis Pusat Hiburan Keluarga (PHK) di sekitar Ampang yang dilaporkan pada 29 Disember 2016 masih lagi tidak disiasat sehingga kini.

“Saya buat laporan polis mendedahkan kedai judi, saya pula disiasat, yang beroperasi kedai judi tidak disiasat.

“Jadi hari ini saya mendedahkan minta pihak polis menyiasat laporan saya pada 29 Disember 2016, yang itu belum lagi disiasat.

“Memorandum yang saya hantar kepada KPN pun belum ada lagi berita dan siasatan. Tetapi laporan polis bekas Ketua Polis Selangor, semalam lapor polis, hari ini saya kena siasat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker