PRU15: Abdullah Sani sedia lawan Azmin Ali di Gombak

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kelak.

Katanya, beliau sedia berdepan dengan penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekiranya perkara itu diputuskan oleh pimpinan PKR.

“Saya bersedia (untuk bertanding) di mana-mana.

“Kalau (PKR) suruh saya pergi (bertanding) di Gombak, saya pergi. Kalau di (Parlimen) Ampang pun saya pergi. Tidak kira,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.



Jelasnya seseorang harus kehadapan bagi menumbangkan individu yang mengkhianati mandat yang diberikan oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei 2018 lalu.

“Apa yang saya pasti, pengkhianat-pengkhianat ini akan tumbang.

“Kalau secara peribadinya, saya alu-alukan (untuk bertanding di Gombak) kalau itu yang jadi keputusan parti, saya sudah bersedia dari sekarang lagi.

“Saya sanggup lawan Azmin Ali, kalau setakat Azmin Ali mana pun saya sanggup,” katanya lagi.



Sebelum ini, Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Nor Hizwan Ahmad berkata PKR perlu berhenti memasang impian untuk menang kerusi Parlimen Ampang dan Gombak pada PRU15 akan datang.

Minggu lalu, pembantu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata Azmin akan terus mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang walaupun berdepan kemarahan pengundi.

Malah beliau berkata, Azmin yakin untuk memenangi hati pengundi yang meluahkan kekecewaan mereka selepas beliau keluar daripada PKR dan menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari lalu.

Peluang untuk Azmin bertanding bagi tiket Perikatan Nasional juga belum pasti apabila Ketua UMNO Gombak, Megat Zulkarnain Omardin berkata mana-mana calon di Gombak, sama ada untuk kerusi Parlimen mahupun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mendapat persetujuan UMNO dan Pas terlebih dahulu. – MalaysiaGazette



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker