Lima murid sekolah rendah kes baru Kluster Tawar – KKM

Share

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat lima kes baru yang dilaporkan bagi Kluster Tawar pada hari ini, menjadikan jumlah kes dalam kluster ini 70 kes setakat ini.

“Kelima-lima kes baru ini melibatkan pelajar-pelajar sebuah sekolah rendah di negeri Kedah.

“Mereka telah dikenalpasti melalui pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat kes-kes positif kluster ini.


“Hasil siasatan mendapati mereka adalah kontak rapat kepada kes ke-9197 yang merupakan seorang pelajar prasekolah (kes ini telah dilaporkan pada 16 Ogos 2020),” kata beliau pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Jelasnya, setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 3,547 orang di Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah disaring dalam kluster ini.

“Iaitu di Kedah seramai 3,018 individu dengan 59 dikesan positif, 2,717 lagi didapati negatif manakala 242 masih menunggu keputusan.


“ Di Pulau Pinang pula 518 telah disaring, 11 positif dan selebihnya negatif manakala di Perak kekal 11 saringan yang mana semua adalah negatif. Tiada saringan baru.

“Saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan akan diteruskan. Situasi semasa kluster ini dan lain-lain kluster akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Dr Noor Hisham.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan semua pihak sekolah supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majilis Keselamatan Negara (MKN) termasuk SOP sebelum, semasa dan selepas sesi persekolahan.


“Ibubapa juga perlu memainkan peranan menasihati dan mendidik anak-anak mereka yang masih bersekolah tentang amalan-amalan yang perlu dipraktikkan bagi mencegah jangkitan Covid-19 di dalam bas sekolah, bilik darjah dan semasa sebarang aktiviti sukan atau kurikulum,” katanya lagi.

Leave a Reply