Juhari dilantik Speaker DUN Kedah

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang baharu.

Pelantikan Juhari dilakukan bagi menggantikan Datuk Ahmad Kasim yang meletak jawatan itu pada 15 Ogos lalu.

Sebelum itu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan nama Juhari sebagai Speaker dan disokong ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Juhari sebelum ini memegang jawatan Timbalan Speaker DUN bermula 4 Julai 2018 ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan meletak jawatan itu pada 23 Ogos lalu.

Terdahulu, Sidang DUN Kedah dihangatkan dengan perdebatan antara wakil kerajaan dan pembangkang berkaitan pelantikan Juhari yang didakwa tidak mengikut peraturan DUN Kedah.

Ketua Pembangkang, Datuk Phahrolrazi Zawawi mohon penjelasan berhubung ketiadaan notis memaklumkan kekosongan jawatan Speaker diedarkan kepada ahli Dewan.

Seterusnya Datuk Dr Ismail Salleh (Amanah-Pengkalan Kundor) mencelah mohon Muhammad Sanusi menjawab pertanyaan pembangkang sebelum membuat pelantikan.

Datuk Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) bangun memperjelaskan peraturan Dewan bahawa pemberitahuan tidak diperlukan susulan peletakan jawatan dibuat sebelum Dewan bersidang.

Perdebatan terus dihangatkan apabila wakil pembangkang, Datuk Johari Abdul (PKR- Gurun), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jitra) dan Datuk Zamri Yusuf (PKR-Suka Menanti) mengemukakan hujah masing-masing.

Speaker seterusnya meneruskan agenda Dewan dengan meminta Menteri Besar mengemukakan calon Timbalan Speaker.

ADUN Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker