Hj Hadi saji cerita ‘dua kepala lutut yang dipukul’ semasa PRU14

Presiden PAS mempunyai cara yang bergaya untuk menunjukkan keakraban hubungan parti itu dengan Umno walaupun ketika itu mereka bersungguh-sungguh menafikan menjalin hubungan baik.

Berucap dalam ceramah bagi membantu calon BN di Slim River, Perak malam tadi, Abdul Hadi Awang secara terbuka mengakui PAS berasa cemas selepas melihat Umno ditolak rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Alasan Abdul Hadi, PAS melihat tiada parti yang “berasaskan Islam” memenangi PRU berkenaan dan mendakwa Amanah – yang membentuk Pakatan Harapan (PH) – hanya mahukan kuasa.

“Parti bukan Islam kuasai PRU14. PAS jadi cemas walaupun BN dan Umno yang kalah.

“Kita ini macam kepala lutut – pukul lutut kiri, kanan akan terasa,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Turut hadir di ceramah itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

BN – dengan bantuan PAS – kini cuba mempertahankan kerusi DUN Slim dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan dua calon bebas. Bagaimanapun seorang daripada mereka Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mendapat sokongan PH.

Amir Khusyairi bertanding sebagai wakil Parti Pejuang Tanah Air.

Untuk rekod sejak sebelum PRU, PAS didakwa berpakat dengan Umno dan BN untuk menggagalkan cubaan PH merampas Putrajaya. Ia menyaksikan PAS meletakkan ramai calon termasuk di kawasan yang dilihat hampir mustahil untuk mereka menangi kerana komposisi pengundi setempat.

Bagaimapun pemimpin PAS menafikan dakwaan berkenaan.

Menjelang PRU ke-14 juga PAS dibayangi dakwaan menerima wang daripada pemimpin Umno bernilai berjuta ringgit. Ia bagaimanapun dinafikan parti berkenaan.

Baca ‘Sekarang ini kita dapat mandat daripada wakil rakyat’

Abdul Hadi berkata apabila Muafakat Nasional dibentuk dengan Umno – semasa kedua-duanya masih lagi pembangkang – mereka masih belum mendapat sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan.

“Kita terpaksa ambil, ajak ahli parlimen yang ada dalam kerajaan (PH).

“Maka berlaku perpecahan dalam PH iaitu mereka yang sedar dan insaf, maka terbentuk kerajaan Perikatan Nasional,” katanya. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker