90 peratus penduduk flat mohon bantuan

[LAPORAN KHAS] PUCHONG – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan wabak Covid-19 di negara ini menyebabkan sebahagian besar rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) terputus bekalan makanan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Blok F1-F10 Taman Puchong Permai di sini, Talhat Kasali berkata, sejak bermulanya PKP, hampir setiap hari ada penduduk yang memohon bantuan makanan daripadanya.

Menurutnya, hampir 90 peratus penduduk di pangsapuri berkenaan memohon bantuan dan mendakwa mereka tidak menerima gaji sejak Mac.

“Disebabkan ramai yang terkesan akibat Covid-19, kami terpaksa mengagihkan bantuan yang diterima daripada wakil rakyat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kaedah penggiliran.

“Siapa yang dah dapat bantuan kita tak beri dah dan beri kepada yang lain. Saya dapat tahu ada yang terpaksa bercatu makanan di rumah,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Surau Darul Hidayah Pinggiran Batu Caves, Che Hamid Che Jusoh memaklumkan sejumlah RM230,000 diterima oleh badan korporat, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan sepanjang tiga bulan bermula Mac untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Melalui sumbangan itu pihak surau membeli keperluan makanan dan diberikan kepada penduduk setempat khususnya di Pangsapuri Pinggiran Batu Caves.

“Hampir setiap hari ada yang memohon sumbangan dan sehingga Mei lalu sebanyak 2,000 peket keperluan makanan diagihkan kepada pelbagai kaum,” katanya.

Katanya, pihak surau lebih terarah memberikan keperluan makanan berbanding kewangan dan bantuan lain memandangkan dalam tempoh PKP lalu banyak penduduk terputus bekalan makanan disebabkan pembelian panik selain ada antaranya tiada wang kerana tidak boleh bekerja.

“Selepas fasa PKP Pemulihan, masih banyak yang mahu memberikan sumbangan cuma kami hentikan dulu buat sementara waktu memandangkan kerajaan sudah membenarkan semula sektor ekonomi beroperasi, jadi ramai yang sudah mula bekerja,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker