Strok: Keadaan Mufti Perak tambah baik

Share

Keadaan Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh pagi semalam akibat serangan strok, telah bertambah baik, demikian menurut doktor yang merawatnya.

Pakar Perubatan dan Neurologi Hospital KPJ Ipoh, Datuk Dr Zakaria Kadir berkata keadaan Harussani, 81, ketika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira pukul 9 pagi semalam agak teruk termasuk lemah sebelah kanan badan serta sukar bercakap.

“Alhamdulillah, petang semalam beliau dah mula beri reaksi dan hari ini bertambah baik, boleh bercakap beberapa perkataan serta ada reaksi emosi berbanding semalam,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin melawat Harussani di Ipoh, hari ini.


Dr Zakaria berkata selain memberikan ubat rehat kepada Mufti Perak itu kerana keadaannya yang keletihan, beliau turut memberikan rawatan untuk memulihkan saluran darah dan rawatan bagi penyakit lain termasuk darah tinggi.

Beliau berkata, Harussani mungkin akan terus dirawat di dalam ICU sekurang-kurangnya tiga hari lagi jika Mufti Perak itu terus menunjukkan perkembangan positif sebelum dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan dan pemulihan.

Sementara itu, Mohd Akmal berharap agar rakyat sama-sama mendoakan kesihatan dan kesejahteraan tokoh agama Perak tersebut selain meminta masjid serta surau untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin.


“Kita masih lagi memerlukan khidmatnya, seorang tokoh, ulama di negeri Perak yang banyak jasanya,” katanya.

Harussani, 81, dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun pusat antaranya Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran; Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.

– Bernama


Leave a Reply