PRK Slim: Undilah Mohd Zaidi, BN Banyak Berjasa… Pengundi Luar Pulanglah

Share

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bakal berlangsung pada 29 Ogos maka tentunya semua pengundi diharap dapat menunaikan tanggungjawab termasuklah mereka yang berada di perantauan dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz.

Pengundi-pengundi DUN Slim yang berada di luar kawasan diminta pulang dan melaksanakan amanah sebagai pengundi kerana ia sangat penting untuk menyambung kesinambungan pentadbiran Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Bagi pengundi, Mohd Shuhaimi Mat Said atau lebih dikenali sebagai Abang Mie, merayu agar pengundi-pengundi di luar balik mengundi calon BN yang menjadi legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Khusairi.


“Kepada pengundi-pengundi kita fikirkan apa yang telah kita dapat dan kita perolehi pada zaman pemerintahan BN. Jadi untuk menyambung kesinambungan itu, pengundi-pengundi diharap memilih calon daripada BN dan kepada pengundi-pengundi luar baliklah untuk sama-sama mengundi dan memastikan calon kita menang.

“Janganlah kita mudah terpedaya pada calon-calon lain… tetapi kita fikir-fikirkan semasak-masaknya daripada pembangunan yang telah kita kecapi.

“Hari ini kita senang, dengan mewah dan selesa kita berada di kampung ini dan mudah-mudahan apa yang kita harapkan sebagaimana pembangunan yang kita rancang untuk Kampung Kuala Slim iaitu satu pekan kecil untuk Kuala Slim, agar dengan kemenangan calon kita ini pekan kecil akan menjadi satu bukti yang nyata untuk kita semua,” katanya kepada UMNO Online, di sini.


Bagi Siti Zubaidah Annuar berpendapat kebanyakan penduduk generasi kedua Felda Besout ini menyesal kerana menyokong Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Sekarang ini anak-anak muda mula menyesal memilih PH yang memerintah selama 22 bulan dan mereka merasa serta kita tidak boleh terima. Anak-anak muda yang tinggal di luar menerima hasutan daripada berita-berita di media sosial. Insya-Allah akan datang ini kita bergabung dengan PAS maka bertambah kuat.

“Apabila anak-anak balik kampung kami ceritakan, emak bapa datang ke sini atas tiket UMNO dan UMNO memberi kesenangan seperti pendidikan, keperluan asas dibandingkan dengan kami di kampung dulu.


“Saya menyeru kepada anak-anak Felda generasi kedua, pulanglah… sebab kita memerlukan undi daripada anak-anak dan untuk masa depan anak-anak juga. Pulanglah pada 29 Ogos ini dan undilah BN,” katanya.

Bagi Tok Batin Kampung Sungai Teras, Kuloh a/l Rintih, menjelaskan Allahyarham Datuk Khusairi banyak berjasa pada masyarakat orang asli.

“Walaupun sudah tidak ada (Allahyarham Khusairi) tapi banyak jasanya untuk anak buah saya, dapat elektrik dan air dan jasa Allahyarham memang banyak.

“Jasa BN aman makmur tapi apabila sudah tukar kerajaan…semuanya susah. Hari-hari makan nasi kita tukar makan mee dan saya rasa tak boleh hari-hari makan mee. Saya mengharapkan anak buah saya mengundi BN kerana ada jasanya,” ujarnya.

Bagi pengundi masyarakat Orang Asli, Pusat a/l Bahamun, mengharapkan agar kerajaan negeri mewartakan tanah untuk masyarakat Orang Asli di Sungai Teras.

“Kami penduduk di Sungai Teras ini kami mohon pada kerajaan kalau boleh wartakan tanah kepada Orang Asli secepat mungkin. Sebab kami sudah beratus tahun duduk di tanah ini.

“Kami ini ingin duduk di darat bukannya di hutan… kalau duduk di sungai jadi macam ikan. Kami merayu tolong wartakan tanah kami. Kami sudah buat surat, memorandum dan hantar ke Putrajaya tetapi kelulusan belum diterima lagi. Itu yang paling utama.

“Kami yakin BN mampu tolong kami… kami amat risau cucu-cicit kami di mana mereka hendak tinggal, berteduh jikalau tidak ada tanah dan itulah yang paling penting bagi kami,” katanya lagi- UMNO Online

Leave a Reply