PRK Slim: 267 anggota polis mengundi awal esok

Share

TANJUNG MALIM – Seramai 267 anggota polis akan mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata kesemua pengundi awal itu akan menunaikan tanggungjawab mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Katanya, sepanjang proses undi awal, pematuhan garis panduan pencegahan Covid-19 berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan akan dilaksanakan.


“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh SPR dan juga disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, peti undi akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraannya akan dibuat semasa hari pengundian pada 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di Majlis Daerah Tanjung Malim.

“SPR berharap pengundi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka,” katanya.


PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas iaitu peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan bekas guru S. Santharasekaran. – Bernama

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!