Pharmaniaga sedia buat perubahan kepada kilang sedia ada untuk vaksin COVID-19

Share

Pharmaniaga Bhd bersedia untuk membuat perubahan yang diperlukan kepada kilang sedia ada yang akan membolehkan mereka menjalankan proses pembangunan pembotolan untuk vaksin COVID-19 apabila ia dibangunkan, kata Pemangku Pengarah Urusannya, Mohamed Iqbal Abdul Rahman.

Beliau berkata kumpulan telah membentangkan kepada Majlis Sains Negara mengenai pelan, kapasiti dan keupayaannya untuk tujuan tersebut.

“Ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka pendek kumpulan untuk menangani keperluan mendesak kepada vaksin COVID-19,” katanya kepada Bernama dalam jawapan bertulis mengenai pelan masa depan Pharmaniaga.


Bulan lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kerajaan bersetuju bahawa kemudahan yang dimiliki oleh Duopharma Biotech Bhd dan Pharmaniaga akan digunakan untuk pembotolan vaksin.

Khairy dilaporkan menjelaskan bahawa kedua-dua syarikat itu dipilih berikutan kedua-duanya berkaitan dengan kerajaan — Duopharma dimiliki oleh Permodalan Nasional Bhd dan Pharmaniaga dimiliki oleh Boustead Holdings Bhd — dan pada masa ini mempunyai kapasiti yang tidak digunakan yang dapat diarahkan untuk tujuan ini.

Mengenai masa depan, Mohamed Iqbal berkata Pharmaniaga, syarikat farmaseutikal terbesar di Malaysia, dijangka mewujudkan kemudahan vaksin halal pertama di dunia, disasarkan siap pada 2022.


“Pada 2018, Pharmaniaga mengumumkan pelan untuk mendirikan kilang vaksin. Sejak itu, kami telah selesai menjalankan kajian terperinci yang diperlukan dan menjalin kerjasama dengan pengeluar vaksin antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Pharmaniaga mempunyai pelan jangka panjang untuk pertumbuhan mampan dan menetapkan enam teras strategik untuk memacu syarikat ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai syarikat berkaitan kerajaan, Pharmaniaga komited untuk terus memberikan standard perkhidmatan tertinggi untuk membolehkan Kementerian Kesihatan memberi tumpuan kepada penyampaian penjagaan kesihatan, dengan Pharmaniaga sebagai rakan logistik pilihannya.


“Walaupun kami telah mendapat kontrak logistik dan pengedaran sehingga November 2024, kami berharap dengan rekod prestasi, infrastruktur yang siap, teknologi maklumat bersepadu, dan yang paling penting, modal insan yang berpengalaman, akan menempatkan kami dengan baik untuk mendapatkan potensi lanjutan selepas tempoh ini,” katanya.

Mohammed Iqbal berkata Pharmaniaga turut meraih manfaat daripada usaha pendigitalan kumpulan yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas, memastikan gangguan yang minimum semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya Pharmaniaga akan turut mengembangkan portfolio produknya dengan produk baharu dihasilkan secara dalaman, selain mengukuhkan segmen agensi dan pengedarannya serta memperluaskan kemudahan pusat sehentinya.

“Dengan lebih 300 pakatan dan lebih 6,000 hospital swasta, pengamal am dan kedai farmasi, Pharmaniaga mempunyai asas yang amat kukuh untuk membina dan mengukuhkan lagi kesetiaan pelanggan,” katanya.

Dalam usaha mengukuhkan modal insan, kumpulan itu akan terus melengkapkan pekerjanya dengan latihan dan sokongan yang diperlukan untuk mematuhi semua keperluan peraturan dan undang-undang.

“Dengan tenaga kerja lebih 3,500, modal insan kami adalah aset kami yang paling berharga. Kami juga komited untuk mengutamakan pekerjaan tempatan, dengan tenaga kerja terdiri daripada 99.5 peratus penduduk tempatan, disokong oleh tenaga kerja antarabangsa yang khusus terutamanya dalam pasukan penyelidikan dan pembangunan kami.

“Kami turut menyesuaikan dengan ‘normal baharu’ selepas COVID-19 dan memanfaatkan pembelajaran positif daripada PKP. Mesyuarat dalam talian dan bekerja dari rumah telah memberi kami peluang untuk lebih produktif berikutan kami mempunyai kos perjalanan yang berkurangan dan lebih banyak masa produktif,” katanya.

Bagi tempoh kewangan enam bulan berakhir 30 Jun, 2020, Pharmaniaga mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM32.38 juta berbanding RM28.89 juta dari segi tahun ke tahun, manakala pendapatan melonjak kepada RM1.47 bilion daripada RM1.39 bilion dicatatkan dalam tempoh sama pada 2019.

Beliau berkata walaupun mencatatkan pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun, operasi kumpulan di Indonesia telah mencatatkan kerugian dalam tempoh beberapa tahun ini, walaupun terdapat sedikit peningkatan.

Pada suku kedua 2020 terutamanya, bahagian Indonesia mencatatkan defisit sebanyak RM2 juta, sebahagian besarnya berikutan kos kewangan yang lebih tinggi disebabkan kelewatan pembayaran daripada hospital kerajaan, yang kini memberi kesan kepada industri penjagaan kesihatan Indonesia.

“Bahagian itu menerima impak daripada sekatan sosial skala besar republik itu berikutan pandemik COVID-19, yang menyebabkan akses yang terhad kepada doktor, klinik, farmasi dan hospital,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Mohamed Iqbal berkata syarikat sedang mencari penyelesaian untuk menguruskan kelewatan pembayaran oleh hospital kerajaan untuk perniagaan pengedaran.

Bagi kemudahan pembuatan di Bandung, Pharmaniaga telah memperluaskan saluran jualannya, dengan tujuan untuk pulang modal pada 2021, dan berharap, kembali mencatatkan keuntungan dalam tempoh jangka panjang, katanya. BERNAMA

Leave a Reply