Laporan audit: Polis bayar RM3.47 juta senggara 2 helikopter tak aktif

Polis telah membayar berjuta ringgit untuk penyenggaraan enam helikopter yang tidak aktif dan rosak, termasuk dua yang tidak aktif melebihi tiga tahun, dedah Laporan Ketua Audit Negara 2019.

Laporan audit itu menyorot bahawa polis telah membayar RM3.47 juta untuk penyenggaraan dua helikopter Ecureuil AS355 F2, unit 9M-PHA dan 9M-PHF, yang berpusat di Air Wing Unit di Subang dari 2017 hingga 2019.

Penyenggaraan terakhir untuk unit 9M-PHA adalah Ogos 2014, sementara unit 9M-PHF pada Disember 2011, dengan sebab kelewatan penyenggaraan yang dinyatakan bagi kedua-duanya adalah “rosak/kekangan bajet”.

Daripada enam helikopter yang tidak aktif, dua daripadanya terlibat dalam kemalangan, dengan salah satunya dalam proses pelupusan.

Laporan itu juga menyorot bahawa tiga daripada enam helikopter yang tidak aktif itu tidak mendapat diskaun pengurangan 25 peratus bayaran penyenggaraan bulanan yang berjumlah RM38,500 sebuluan.

Ini meskipun Klausa 15.2 kontrak perkhidmatan penyenggaraan menyatakan selepas enam bulan helikopter tidak aktif, bayaran tetap bulanan penyenggaraan helikopter yang dikenakan untuk satu helikopter akan dikurangkan sebanyak 25 peratus.

“Mengikut pengiraan audit, sejumlah RM105,875 telah terlebih bayar bagi bayaran tetap bulanan helikopter berkenaan bagi tempoh 11 bulan iaitu dari Oktober 2018 hingga September 2019 (setelah ditolak tempoh enam bulan sebelum pengurangan 25 peratus bayaran tetap bulanan helikopter),” kata laporan audit itu.

 

Maklum balas PDRM bagaimanapun menjelaskan bahawa syarat kontrak hanya membenarkan potongan harga diberikan maksimum terhadap tiga buah helikopter pada satu masa.

Laporan audit berkata, perkara itu menyebabkan pembaziran sejumlah RM3.47 juta.

Justeru, laporan audit mengesorkan agar kontrak penyenggaraan tidak menghadkan jumlah maksimum helikopter yang diberi pengurangan bayaran penyenggaraan.

“Kontrak perkhidmatan penyenggaraan sepatutnya tidak menghadkan bilangan maksimum helikopter yang boleh diberi pengurangan bayaran penyenggaraan pada satu masa kerana kerosakan yang berlaku di luar jangkaan,” kata laporan itu

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker