Laporan audit: Penjara beli dakwat HP, dapat dakwat tiruan

PARLIMEN l Penjara Kajang membeli toner atau dakwat kering pencetak asli dari Hewlett-Packard (HP) tetapi akhirnya mendapati produk palsu yang dibekalkan, kata Laporan Ketua Audit Negara 2019.

Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, menyebut bahawa jabatan penjara telah mengeluarkan kontrak untuk mendapatkan pelbagai dakwat  pencetak bernilai RM146,500 bagi tempoh antara 15 Oktober 2018 dan 14 Oktober 2019.

“Lawatan Audit pada 13 September 2019 di stor simpanan toner pencetak mendapati kod Quick Response (QR) pada kotak asal stok toner jenama HP telah dipotong,” kata laporan itu.

Ini menyebabkan pengesahan ketulenan toner tidak dapat dilaksanakan.

Pihak Penjara Kajang kemudian memohon pengesahan ketulenan dakwat itu  daripada pembekal asal iaitu HP Malaysia.

“Laporan HP Malaysia pada 23 Oktober 2019 mengesahkan bahawa toner jenama HP yang dibekalkan oleh pembekal yang dilantik pihak Penjara Kajang adalah tiruan bernilai RM13,935.

“Perkara ini disebabkan pegawai penerima stok yang dilantik tidak teliti dalam membuat pemeriksaan terhadap penerimaan stok yang tidak sempurna seperti ketiadaan kod QR,” petik laporan itu.

Susulan penemuan itu, pihak syarikat pembekal bersetuju untuk mengganti keseluruhan dakwat tiruan itu kepada dakwat tulen tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.

Pernyataan audit, dalam laporan itu, berkata bahawa pembekal telah melanggar syarat pembekalan yang dinyatakan dalam surat persetujuan perolehan.

“Penerima stok perlu lebih peka dengan keadaan apabila mendapati kod QR dipotong atau berlaku sebarang kerosakan pada item semasa penerimaannya bagi mengelakkan kerugian kepada jabatan,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, semakan audit mendapati Ibu Pejabat Penjara Malaysia dan Penjara Kajang membuat pembayaran penuh kepada pembekal walaupun pembekalan dan perkhidmatan yang diberikan tidak disempurnakan sepenuhnya.

“Selain itu, terdapat kerja dan pembekalan yang dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi seperti SST yang ditetapkan,” katanya.

Pembelian dakwat itu adalah antara 109 sebut harga perolehan berjumlah RM18.2 juta untuk tiga penjara dan Jabatan Penjara Malaysia, yang diteliti secara rawak oleh jabatan audit.

Laporan tersebut juga mengenal pasti bahawa dalam beberapa perolehan, pembekal yang menentukan harga barangan tersebut. MK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker