Jangan leka, kita belum menang..

Share

PROFESOR Madya Alex Cook dari Sekolah Perubatan Duke-National University of Singapore (NUS) berkata, jumlah sebenar jangkitan koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia mungkin lebih 10 kali ganda berbanding jumlah yang dilaporkan.

Di Malaysia, situasi menunjukkan trend yang agak membimbangkan dengan laporan jangkitan kes yang turun naik, kewujudan beberapa kluster baharu, super spreader selain beberapa perkembangan seperti peningkatan kes import dan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

Menyentuh tentang super spreader, langkah kuarantin sangat penting dipatuhi sepenuhnya oleh individu terlibat kerana virus punca penyakit Covid-19 dengan mutasi D614G didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar individu super spreader seperti daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga dan Kluster Ulu Tiram.


Menurut Pakar Virologi dari Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar, virus mengalami mutasi demi memenuhi matlamat utamanya iaitu untuk kekal hidup dalam badan perumah dan menjangkiti seberapa ramai individu lain.

Lantaran jika diteliti perkembangan Kluster Sivagangga di Kedah, negeri itu dulunya adalah kawasan hijau, justeru, memang dijangka apabila berlaku penularan baharu lazimnya mengundang peningkatan kes mendadak.

Menurut beliau lagi, dalam teori epidemiologi, masyarakat dalam kawasan atau zon hijau akan complacent (selesa), maka aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tidak begitu diambil berat.


Selain itu, jangkitan kali kedua juga boleh berlaku dalam kalangan mereka yang pernah dikesan positif dijangkiti pandemik itu. WHO juga memberi amaran bahawa tiada bukti bahawa orang yang diuji positif Covid-19 kebal dan terlindung daripada jangkitan semula.

Walaupun ada tanda-tanda bahawa wabak Covid-19 semakin stabil di Malaysia, pembukaan sempadan Malaysia-Singapura mulai 17 Ogos lalu, dikhuatiri berpotensi meningkatkan jangkitan kes dalam negara jika tidak ditangani dengan sebaiknya.

Bermula daripada kes Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), WHO pada tahun 2005 mewartakan undang-undang antarabangsa iaitu International Health Regulations (IHR) untuk melindungi nyawa manusia dan hidupan daripada ancaman penyakit yang boleh merebak secara meluas melalui laluan dan pintu antarabangsa.


Keadaan dan situasi wabak di tempat lain masih serius seperti di Amerika Syarikat dan India. Sejajar dengan itu, saringan kepada warga asing yang masuk ke negara ini perlu diperketatkan.

Ujian klinikal vaksin Covid-19 telah bermula, namun menurut WHO, ia memerlukan sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan sebelum vaksin tersebut dapat digunakan. Justeru, langkah pencegahan dan kawalan perlu dilaksanakan secara berterusan.

Walaupun Malaysia dipuji kerana berjaya membendung wabak melalui langkah pemantauan aktif, pengesanan awal, pengasingan dan pengurusan kes serta pencegahan penyebaran jangkitan Covid-19, janganlah kita leka, alpa dan merasa selesa kerana kita masih belum menang sepenuhnya dalam melawan pandemik yang ganas itu!

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menegaskan pandemik itu akan terus semakin buruk, melainkan orang ramai berdisiplin mengamalkan penjarakan sosial, membasuh tangan, memakai pelitup muka dan tidak keluar rumah jika sakit.

Jika semua langkah ini gagal dipatuhi sepenuhnya, maka tidak mustahil perintah berkurung dan larangan perjalanan akan kembali menghantui penduduk Malaysia.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Leave a Reply