Isu pilihan raya, ini kata SPR…

PUTRAJAYA – Dalam kesibukan melakukan persiapan bagi pengendalian Pilihan Raya Negeri Sabah pada September dan pada masa sama menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Perak pada 29 Ogos, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkesempatan meluangkan masa untuk satu wawancara bersama Bernama.

Azmi memulakan tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi SPR sejak Februari 2019. Dalam wawancara kira-kira sejam di pejabatnya di sini pada Jumaat, beliau menjawab pelbagai soalan berkaitan proses pilihan raya dan hak demokrasi rakyat Malaysia, tanggungjawab SPR dalam pengendalian pilihan raya, persediaan bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 dan tentang kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada bila-bila masa.

Berikut adalah antara sedutan soalan dan jawapan dalam wawancara itu.

Bagaimana dengan pandangan YBrs Dr Azmi terhadap sistem penjalanan pilihan raya di Malaysia?



AZMI: (Sistem Pilihan Raya) banyak yang bagus, terdapat banyak penambahbaikan yang berlaku, misalnya kita ada sistem PACA (ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi) dan sistem pemerhati. Sistem sebegini membantu orang ramai rasa lebih yakin dengan pilihan raya diadakan. Contohnya menerusi sistem PACA, undi itu dikira dalam saluran sendiri, jadi ia tidak perlu mengira undi itu di satu kawasan/tempat/pusat yang lain. Pengiraan undi disaksikan oleh PACA, mereka juga tandatangani Borang 14. Jadi ini bermakna, kalau hendak menipu, mustahil. Kisah-kisah dahulu ada yang mengatakan muncul kotak baharu dan sebagainya, mustahil perkara itu boleh berlaku kerana apa yang penting adalah Borang 14 yang ditandatangani oleh saksi iaitu PACA dan ketua tempat mengundi.

Adanya sistem sebegini dan sistem pemerhati yang datang boleh menyaksikan perkara yang berlaku, ini bermakna proses pengundian itu adalah lebih telus. Kalau kita terbuka dengan apa yang kita lakukan susah untuk mengundang perkara yang tidak elok berlaku. Dari satu aspek lagi, ada kekukuhan sistem pengundian dan pilihan raya. namun banyak lagi ruang untuk perbaiki sistem. Apa yang saya inginkan adalah sistem pilihan raya dan SPR tidak disebut langsung oleh orang ramai. Maksudnya orang tidak kisah (pertikai) lagi dengan SPR dan semua rakyat merasakan seratus peratus yakin dengan sistem pilihan raya. Harapan saya orang lupa SPR, bukan sebab kita hilang tetapi kerana SPR melakukan kerja dengan teliti dan cekap sehingga tidak menimbulkan isu.

Apakah rakyat Malaysia boleh melihat suatu sistem pilihan raya yang lebih mantap dan tidak asyik dilihat sentiasa berpolitik dan berhadapan dengan pilihan raya?

Tugas rakyat adalah mengundi calon yang mereka betul-betul yakini, bukan tugas SPR untuk menentu siapa yang sepatutnya mereka mengundi. Kalau rakyat ingin ahli politik tidak asyik main politik tetapi mementing rakyat, pilihlah calon yang begitu, itu yang dinamakan demokrasi. Kalau suka mereka (ahli politik) yang suka main politik, jadi undilah mereka. Tetapi itu bukan kerja SPR, itu kerja rakyat.



Ada cadangan bahawa kalau ada calon meninggal dunia dan sebagainya parti yang menang itu akan teruskan, iaitu diganti dengan calon baharu. Cadangan itu bukan dalam sistem perundangan SPR, jika Parlimen ingin menukar sistem, itu kerja Parlimen. SPR hanya mengendalikan pilihan raya sahaja, sistem demokrasi yang diingini adalah kerja Parlimen. Sebenarnya itu kehendak rakyat.

SPR hanya mengendalikan pilihan raya. SPR tidak terlibat dengan isu-isu seperti itu. Kerja-kerja yang dilakukan sekarang berasaskan tanggungjawab yang sedia ada maksudnya rancangan reformasi kita berasaskan pengendalian dan pelaksanaan pilihan raya, perbaiki daftar pemilih, perbaiki persempadanan, ini tanggungjawab kita. SPR sekarang ini sangat mengambil berat untuk memperbaiki sistem dan mereformasikan sistem.

Di luar daripada itu, seperti menggunakan sistem first-past-the-post, sistem berkadar. Memang ada penyelidikan tentang perkara itu, tetapi ia dijalankan oleh Election Reform Committee (ERC) yang diketuai oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. SPR hanya mengkaji apa yang ada dalam hak kuasa SPR sahaja, di luar itu kalau ERC mahu lakukan dan Parlimen bersetuju, ia akan menjadi satu perkara lain.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mengemukakan 49 syor reformasi pilihan raya iaitu usaha mengubah landskap pilihan raya pada masa akan datang? Apakah pandangan SPR dalam hal ini?



ERC sebahagian daripada satu usaha untuk perbaiki seluruh sistem pemimpinan kita di Malaysia, dan pada pandangan saya semua usaha ini adalah sesuatu yang memang elok dan baik.

Kita tidak boleh duduk diam atau statik sahaja, kita harus fikir ke depan. Demokrasi adalah sesuatu yang saya rasa sangat penting. Sistem demokrasi bukan semata-mata memilih pemimpin tetapi sistem ini memberi hak kepada rakyat menentukan masa depan mereka. Sekiranya tidak boleh memilih siapa pemimpin kita, bermaksud kita hanya hamba abdi. Kalau kita tahu suara kita bermakna dan undi kita bermakna, kita perlu yakin sistem demokrasi itu wujud.

Bagi memperbaiki sistem demokrasi dan pimpinan kita, penambahbaikan ini sangat penting, ia bukan tentang orang nak simpan kuasa dan sebagainya, ia adalah untuk rakyat dan keamanan negara. Semua usaha untuk memperbaiki apa yang sedia ada, sama ada ERC ataupun komuniti-komuniti yang ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu, saya rasa ia berterusan sekarang ini. Ini semua perkara yang elok dan digalakkan.

Menyentuh tentang tindakan pemimpin yang melompat parti atau tiba-tiba meletak jawatan, menyebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa diadakan, adakah ini adil kepada pengundi di kawasan berkenaan?



Saya faham kenapa rakyat berasa kecewa apabila ia berlaku. Itulah sebabnya kerja SPR sangat penting supaya rakyat yakin bahawa jikalau sesuatu perkara itu telahpun berlaku dan jika mereka tidak puas hati dengan perkara sebegitu, mereka ada kuasa untuk melakukan sesuatu pada masa hadapan.

Rakyat perlu mengambil tanggungjawab soal calon kawasan mereka, cabar calon anda, apakah pendirian (calon) mengenai isu-isu ini. Kita sebagai manusia yang bebas, kita ada tanggungjawab sendiri, kita tidak boleh mengharap kepada institusi sahaja untuk membuat kerja kita, kita mesti bertanggungjawab dengan kehidupan kita. Sekiranya mahu SPR menjelaskan serta memperbaiki sistem bagi menangani isu lompat parti dan sebagainya dan menghalang perkara itu berlaku, saya tidak akan komen, kerana ia di luar bidang kuasa SPR.

Banyak pihak terutamanya pemerhati politik berpendapat Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan pada bila-bila masa? Apakah persediaan SPR ke arah itu?

Sebenarnya SPR telah membuat persediaan dari segi latihan pegawai-pegawai dan banyak persiapan yang kita lakukan berterusan. Contohnya, untuk menentukan pusat mengundi. Saya sendiri pun ikut sama dengan Urusetia SPR untuk melihat tempat mengundi baharu dan sebagainya. Proses ini berterusan, kita bukan kerja sekali dalam masa lima tahun sahaja. Jadi dari segi kemungkinan PRU, realitinya apabila terdapat pertukaran kerajaan pada Mac, SPR memang sudah in alert hadapi kemungkinan.



We know that the political situation is fluid. I’m not making comment on the politics, I’m commenting on what we have to do. The reality is jika political situation is fluid, kita pun mesti bersedia. That’s what we’ve been doing since March, memang banyak kerja untuk bersedia bagi menghadapi pilihan raya yang dijalankan berterusan. Kalau ada PRU15, kita buatlah. Kalau Parlimen dibubarkan, kita ada 60 hari dan dalam tempoh itu kita mesti buat (PRU) juga.

Apakah harapan SPR?

We (SPR) must continue to improve, kita tak boleh angkuh dan rasa sempurna. Kita mesti menerima kritikan secara terbuka dan terima cadangan penambahbaikan. Sekurang-kurangnya kritikan dan cadangan penambahbaikan tu perlu dikaji dan jika elok kita laksanakan. Kita sendiri mesti mengambil inisiatif untuk memperbaiki diri kita.

Setiap ahli SPR yang ada bertanggungjawab dalam jawatankuasa masing-masing untuk memperbaiki sistem kita. Ada jawatankuasa untuk pendaftaran pengundi, ada untuk persempadanan, undi pos, kesalahan pilihan raya dan ada juga jawatankuasa memperbaiki cara beroperasi. We are working to improve dan saya harap ia akan berterusan. We must improve because kalau kita stagnant sahaja its not good, we must keep on moving forward kerana rakyat Malaysia deserve it.



Saya mahu rakyat percaya dengan sistem pilihan raya dan yakin dengan SPR, kita tidak mahu timbul isu SPR tidak telus, kalau boleh setiap kali pilihan raya saya tidak mahu dengar rakyat menyalahkan SPR. – Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker