‘Huru-hara’ pilihan raya Sabah terus berlaku

Sambil bertukar-tukar pautan berita media sosial dengan tontonan drama politik Amerika Syarikat (AS) House of Cards di telefonnya, seorang pereka grafik, Les Lee menggeleng-gelengkan kepala.

“Ini kecil. Ahli politik Sabah dan perangai mereka jauh lebih menjengkelkan daripada ini. Faham?”katanya sambil tersenyum, terhibur dengan maksud tersirat kata-katanya.

“Dalam beberapa minggu, rakyat Sabah menyaksikan bagaimana kerajaan negeri di bawah Warisan, DAP, PKR dan Upko tumbang hanya selepas 2 tahun tempoh pentadbirannya susulan pembelotan demi pembelotan.

Drama itu berterusan dengan Yang Dipertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atas nasihat Ketua Menteri Shafie Apdal, sekali gus membawa kepada pilihan raya negeri (RPN) pada 26 September depan.

Episod berikutnya ialah kegagalan bekas ketua menteri Musa Aman dan kumpualan 32 Adunnya dalam permohonan mereka mencabar keputusan Juhar di mahkamah.

Plot itu diperhangatkan dengan penolakan terbuka 12 ketua bahagian Umno Sabah terhadap presiden parti Ahmad Zahid Hamidi beberapa jam selepas beliau menamakan pengerusi Umno negeri, Bung Moktar Radin sebagai pengarah pilihan raya parti itu.

“Keadaan masih tidak boleh dijangka,” kata Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee yang juga merupakan bekas ketua menteri.

“Keadaan sangat kelam-kabut di semua pihak dan pengundi menunggu hari penamaan calon untuk melihat bagaimana garis pertarungan akan terbentuk.”

Penganalisis politik Lee Kuok Ting dari Universiti Malaysia Sabah meramalkan beberapa gabungan baru akan dibentuk oleh parti politik yang mahu bertanding sebelum hari penamaan calon pada 12 September ini.

Ia termasuklah parti kecil seperti Parti Cinta Sabah dan Parti Demokratik Liberal yang gagal memenangi sebarang kerusi pada 2018 dan sekarang memposisikan diri mereka sebagai parti alternatif atau “blok ketiga” kepada Warisan Plus.

“Parti nyamuk” lain termasuklah Gagasan Rakyat Sabah, Parti Anak Negeri dan Usno.

“Kerjasama antara beberapa parti kecil ini mungkin berlaku kerana perkongsian atau penggabungan sumber lebih masuk akal berbanding bertanding sendiri,” kata Lee.

“Bagaimanapun, calon bagi beberapa parti ini juga masih berkemungkinan hilang deposit.”

Tumpuan masih kepada Umno Sabah, iaitu sama ada mereka berjaya dalam rundingan pembahagian kerusi pilihan raya dengan PPBM.

Umno mahu bertanding di kerusi yang dimenanginya pada 2018, yang kemudiannya hilang selepas wakil rakyat mereka melompat parti, termasuk menyertai PPBM.

Antara isu panas lain ialah sama ada Umno Sabah akan mengalah dan mengizinkan sekutunya PBS bertanding menggunakan simbol “tangan bersalam” parti itu.

Sekiranya ini berlaku, STAR dan PBRS yang juga merupakan rakan sekutu Umno dalam Perikatan Nasional (PN) mungkin akan mengambil langkah sama.

Isu berhubung penggunaan simbol tunggal juga menghantui Warisan Plus dengan Shafie berkata wujudnya perbezaan pendapat berhubung langkah itu.

Tawar-menawar antara parti terus berlaku dan Yong percaya kesemuanya akan dimuktamadkan menjelang hari penamaan calon.

“Akar umbi menuntut semua perkara isu diselesaikan segera. Ketika itu, pergeseran akan lebih tertumpu pada personaliti tertentu,” tambahnya.

Sehingga saat itu, pengundi di Sabah akan terus disajikan dengan drama politik yang berlaku. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker