UMNO perlu terima realiti politik

Beberapa hari ini penyokong UMNO dan Muafakat Nasional (MN) melahirkan kritikan keras kepada kepimpinan UMNO dan Pas kerana dikatakan bertindak secara bertentangan dengan semangat kerjasama itu.

Kritikan itu berpunca kepada dua isu iaitu jemputan kepada Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional dan penyertaan Pas sebagai Jawatankuasa Penaja Perikatan Nasional.

Kemarahan sebahagian penyokong UMNO kepada Bersatu yang dianggap menjadi pengkhianat dalam menjatuhkan kerajaan BN dan pendakwaan bersifat politik, masih belum reda.

Kumpulan itu berpandangan UMNO dan Pas tidak harus mengadakan apa-apa kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Mereka turut menyerang Pas kerana dianggap mengkhianati Piagam Muafakat Nasional.

Pemimpin UMNO wajar berasa bimbang kerana berdasarkan tinjauan di media sosial, kumpulan itu mempunyai jumlah yang agak signifikan dan boleh menjejaskan kestabilan parti jika tidak diurus dengan baik.

Pada hemat saya UMNO hari ini berhadapan masalah komunikasi dengan ahli dan rakyat. Kadangkala pemimpinnya bercakap tidak selaras dengan hala tuju politik yang sedang mereka usahakan.

Ini menyebabkan timbul pelbagai salah faham dalam kalangan ahli dan penyokong.

Jarang sekali kita melihat parti terbesar ini mengadakan sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT). Keputusan penting MKT seperti bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa MN untuk menjemput Bersatu tidak dimaklumkan secara telus kepada umum.

Komunikasi

Ini menimbulkan salah tanggapan bahawa ia dilakukan secara sulit dan diputuskan oleh Presiden parti sahaja. Justeru, adalah penting proses komunikasi kepimpinan UMNO dan rakyat harus dibuat dengan lebih baik.

Realiti politik yang perlu disedari oleh penyokong UMNO ialah BN telah kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Walaupun UMNO beranggapan kekalahan itu kerana manifesto palsu dan fitnah, namun realitinya parti itu telah mengalami kemerosotan sokongan sejak 2008.

Benar BN kembali popular dalam enam PRK lepas. Namun harus diingat sebahagian populariti itu diraih kerana kemarahan orang Melayu kepada DAP dan Pakatan Harapan, bukannya kerana UMNO menampilkan pilihan yang terbaik.

Hari ini, senario politik negara telah berubah. Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, pembentukan kerajaan Perikatan Nasional dan penularan pandemik Covid-19 telah mewujudkan landskap baharu politik negara.

Jika dulu orang Melayu hanya meletak harapan kepada UMNO dan Pas, kini mereka juga agak yakin dengan kepimpinan Muhyiddin.

Justeru, pengundi mempunyai pilihan selain BN, iaitu Muhyiddin yang dilihat hero dalam perang menentang Covid-19. Dan perlu diingat Muhyiddin juga kini mempunyai sokongan Pas.

Dalam keadaan ini, penyokong UMNO perlu menerima hakikat bahawa jika mahu kekal relevan, mereka harus merendahkan ego dan mempunyai kebijaksanaan politik agar tidak dikambinghitamkan sebagai penentang agenda ummah.

Pengundi khususnya orang Melayu di luar sana mahu melihat UMNO ikhlas dalam usaha memperjuangkan kepentingan rakyat.

Andaian negatif sebelum berunding dan membuat keputusan bukanlah cara politik bijak. Bincang semua permintaan, jika tiada jalan penyelesaian boleh sahaja BN bertanding sendiri nanti.

Penyokong parti politik perlu memahami bahawa kesetiaan kepada parti memerlukan pengorbanan ego. Kesetiaan bukan jalan untuk meraih sanjungan dan hak membangga diri.

Sebaliknya ia memerlukan pengorbanan ego dalam memastikan parti mendapat sokongan majoriti pengundi di luar sana. Pengorbanan kedudukan dan pandangan peribadi juga penting untuk memastikan parti kembali diterima rakyat.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker