Muslihat kuasa di sebalik pendekatan pintu terbuka PPBM

Share

Penganalisis politik berkata, PPBM bakal berdepan kesukaran dalam usahanya untuk memenangi sokongan orang bukan-Melayu walaupun ia membuka kedudukan dalam kepimpinannya kepada kelompok itu.

Menurut mereka, cadangan itu, yang diumumkan semalam, mungkin merupakan langkah strategik bagi mengimbangi pengaruh Umno dan PAS.

Oleh sebab PPBM telah mengesahkan kewujudannya sebagai parti orang Melayu, ia akan berdepan kesukaran bagi mendapatkan sokongan orang bukan-Melayu dan pada masa sama meyakinkan ahli akar umbinya supaya membuka parti tersebut kepada orang lain.


Bagaimanapun langkah terbaru berhubung keahlian bukan-Melayu yang diumumkan oleh pemimpinnya Muhyiddin Yassin itu boleh membuka jalan kepada PPBM untuk memperluas asas sokongannya bagi menyaingi Umno dan PAS.

Awang Azman Pawi
Pada masa ini parti itu membenarkan orang bukan-Melayu menyertainya sebagai ahli bersekutu, tetapi mereka tidak boleh memegang jawatan kepimpinan.

Penganalisis politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya memberitahu FMT bahawa wujud rasa kurang senang dalam kalangan ahli akar umbi PPBM kerana parti itu ditubuhkan bagi membantu golongan Bumiputera.


“Jika mereka membuat perubahan itu, maka objektif parti untuk memperjuangkan orang Melayu juga berubah. Membuka pintu kepada kaum lain tidak akan menjadikan PPBM berbeza berbanding PKR atau DAP,” katanya.

Azman berkata, DAP dan PKR sudah sedia dipercayai oleh orang Melayu dan Cina, justeru PPBM akan berdepan kesukaran untuk mendapat sokongan.

Syed Arabi Idid
Bagaimanapun Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa berkata, dasar baru itu mungkin merupakan langkah strategik untuk menyaingi Umno.


Beliau berkata, “PPBM mempunyai PAS sebagai parti sekutu dalam Perikatan Nasional (PN). Sokongan PAS dan ahli Parlimen tambahan yang dibawa masuk oleh kumpulan Mohamed Azmin Ali akan memperkuatkan kedudukan PPBM untuk berdepan dengan Umno.

“Umno ada MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN), jadi jika PPBM membuka pintu kepada orang bukan-Melayu, ia juga boleh bersaing dengan BN. Semuanya masih andaian, tetapi mereka nampaknya mengambil langkah strategik,” katanya.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia bersetuju dengan berkata, 2 rakan kongsi PPBM, iaitu Umno dan PAS, adalah parti orang Melayu.

“Dalam kalangan 3 anggota PN itu, hanya PPBM yang boleh memperluaskan asas sokongannya. Umno dan PAS terlalu terikat dengan pengundi Melayu,” katanya.

Azmi Hassan
“Pada masa ini PKR dilihat sebagai pesaing PPBM dari segi sokongan orang bukan-Melayu.

“PKR mempunyai kelebihan kerana DAP merupakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).

“PPBM ada Umno dan PAS, tetapi ia bukan kelebihan bagi mendapatkan sokongan bukan-Melayu. PPBM akan berdepan laluan sukar.”

Berhubung keputusan Azmin untuk tidak memegang jawatan dalam PPBM Azmi berkata, ia bukan masalah kerana menteri kanan itu merupakan ahli parti itu yang sedia diberikan keutamaan.

“Tetapi itu hanya untuk sementara waktu ini.

“Dalam masa terdekat, Azmin perlu memegang jawatan (dalam PPBM) kerana beliau harus mengukur populariti dan pengaruhnyanya. Satu-satunya cara ialah dengan memasuki pertandingan.” FMT

Leave a Reply