Kuarantin Khairuddin

Share

PULASAN | Apakah nilai sebuah kejujuran? Bagaimana dengan harga sebuah maruah? Saya katakan – dengan mengenang kata-kata Buya Hamka – kejujuran dan maruah tidak berharga. Ia tidak ada harga.

Persoalan itu timbul sejurus selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa ulama PAS, Dr Khairuddin Aman Razali, dikompaun ‘manja’ kerana gagal melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki.

Khairuddin itu bukan calang-calang orang. Dia tokoh perniagaan yang juga dianggap ulama. Ucapan dan kata-katanya penuh dengan bunga dan hikmat. Garangnya pun boleh tahan.


Gelaran “doktor” pada namanya itu bukan calang-calang juga. Ia adalah petanda bahawa dia memperoleh ijazah doktor falsafah. Apa bidang dan nilai tesisnya adalah isu lain. Sama ada mengenai keadilan Islam atau kepentingan retorik huruf wau, ia adalah isu lain.

Apa yang penting Khairuddin itu ulama bergelar. Dia nampaknya bangga dengan keadaan itu. Justeru apabila ada orang tersenyum melihat tanda nama di dada Khairuddin siap dengan gelaran “Dr” itu, ia adalah tidak wajar.

Memanglah doktor perubatan pun jarang benar menayangkan gelarannya pada tanda nama seperti Khairuddin. Waima Dr Mahathir Mohamad pun, tanda nama dia hanya Mahathir saja.


Lantak Mahathirlah. Dia sekular. Khairuddin ulama. Bak jenaka Hasan Ali dengan Tuan Ibrahim Tuan Man semasa kedua-duanya belum menjadi orang besar PAS dan Forum Perdana Ehwal Islam berada di kemuncaknya, Khairuddin itu ada, Datuk lagi, doktor lagi, ulama lagi, ahli parlimen lagi, menteri lagi, Audi lagi.

Beza DAP dan koronavirus di mata PAS

Cuma Khairuddin itu ‘kantoi’ dan takdirnya dia dikantoikan oleh Teresa Kok. Justeru ada wajarnya PAS marah kepada DAP. Pendedahan di Dewan Rakyat itu dianggap sebagai usaha DAP menyerang PAS.


Kemudian timbullah teori pembunuhan watak. Seolah-olah pendedahan Khairuddin ingkar kepada arahan kerajaan ketika dia sendiri adalah sebahagian daripada kerajaan itu merupakan cara DAP membunuh watak Khairuddin.

Khairuddin Aman Razali at-Takiri kot!

Silaplah pentaasub PAS menganggap Khairuddin akan terjejas dengan serangan sebegitu. Sama seperti semua ulama PAS, Khairuddin mempunyai ‘kehaibatan’ dia yang tersendiri. Ia tegak berdiri ampuh walau dilanda badai dan taufan. Kerana itu barangkali kita boleh menjangkakan dia tidak dijangkiti kuman jahat dari Wuhan, China itu.

Di mata PAS, sepatutnya kuman koronavirus itu kira-kira samalah dengan DAP. Bezanya ialah, PAS tidak pernah bekerjasama dengan koronavirus. Cuma itu.

Selepas pulang dari Turki, Khairuddin muncul di Dewan Rakyat pada hari usul Muhyiddin Yassin mahu menggantikan speaker dibawa untuk diundi. Ia adalah satu lagi ujian buat Muhyiddin.

Ketika sokongan kepada Muhyiddin diragui, tentu hilang akal jika Khairuddin tidak memunculkan diri untuk mengundi. Ia merisikokan perdana menteri.

Aib perdana menteri wajib dijaga. PAS pula membolehkan penipuan dibuat semasa ‘perang’ politik demi mengelirukan lawan. Pakatan Harapan (PH) itu lawan PAS. Muhyddin itu pula kawan PAS.

Aib Muhyiddin adalah aib PAS. Aib PAS ialah aib Khairuddin. Maka Khairuddin hadir di Dewan Rakyat pada hari usul membawa masuk Azhar Harun diundi. Sudah tentu Khairuddin mengundi untuk memenangkan Muhyiddin.

Dan akhirnya Azhar ‘Art’ Harun pun menjadi speaker. Entah disedari entah tidak, perjalanan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya itu ke kerusi speaker sebenarnya dicemari noda oleh keingkaran Khairuddin.

Petik nama KKM

Kira-kira ia bolehlah dianggap kesan kepada hukum sesat Niccolo Machiavelli yang selalu diulang-ulang PAS dalam usrah dan ceramah mereka suatu ketika dulu.

Bila kali terakhir PAS mengingatkan bahawa matlamat tidak menghalalkan cara itu adalah cerita lain. Matlamat PAS ialah memenangkan PAS. Machiavelli punya cerita boleh tunggu.

Selepas terdedah Khairuddin ingkar kepada peraturan dibuat kerajaan, dia masih kelihatan bergaya bersilat untuk menjustifikasikan kehadirannya di Dewan Rakyat dan majlis-majlis lain selepas itu. Ia berlaku ketika Khairuddin sepatutnya berkurung di rumah.

Rumah Khairuddin tentulah bukan seperti rumah di Flat Pak Mahat di Kuantan.

Mula-mula Khairuddin petik nama KKM. Kemudian Khairuddin petik pula nama istana. Penyokong PAS pun gigih memberikan justifikasi mengapa Khairuddin tidak perlu menjalani kuarantin kendiri.

Kita pun boleh saja faham mereka itu. Selain memberikan justifikasi kepada setiap kerja buat pemimpin PAS, apa lagi kemahiran mereka selain daripada itu, kan?

 

Cuma satu hal yang orang PAS terlupa ialah, kes Khairuddin itu bukanlah positif Covid-19 atau tidak, tetapi ia adalah tentang kepatuhan kepada peraturan. Ia melibatkan maruah dan integriti.

Pedulilah bila kali terakhir PAS bercakap mengenai integriti. Sebagai seorang menteri yang lincah ke sana dan ke sini, Khairuddin tentu mementingkan integriti.

Ia pernah diajar dengan bergaya oleh Menteri Luar, Hishammuddin Hussein, baru-baru ini. Cuma mungkin Khairuddin belum sempat menuntut daripada Hishammuddin.

Maruah tidak boleh diperdagangkan

Ia juga bukan tentang mengembalikan semula gaji menteri. Gila apa menebus salah sendiri dengan mengembalikan gaji kepada kerajaan? Ia adalah duluan yang berbahaya.

Kita tidak mahu selepas ini ada – misalnya – ketua setiausaha yang mengaku salah terbabit dalam salah laku atau penyalahgunaan kuasa kemudian meminta maaf dan menyerahkan kembali gajinya sebagai tanda kesal.

Sama ada empat bulan gaji, sembilan tahun gaji atau pencen sampai kiamat, ia tidak boleh menebus maruah dan harga diri. Sama ada ia bernilai RM50,000 atau RM50 juta, maruah adalah maruah. Integriti ialah integriti.

Sebab itu – seperti dipesan Hamka – kejujuran dan maruah itu tidak berharga kerana sememangnya ia tidak boleh dijual beli. Meletakkan harga pada amanah, integriti, maruah dan harga diri bermakna ia boleh ditebus. Ia boleh dibeli pada harga tertentu.

Sedangkan ia tidak boleh diperdagangkan.

Jika ada antara kita yang berlapang dada dan menerima hakikat Khairuddin melakukan kesalahan dan dia menebusnya dengan mengembalikan gajinya sekian-sekian bulan, maka kita sudah meletakkan harga kepada keingkaran.

Di satu sisi lain pula, Khairuddin seperti sedang membeli kemarahan orang ramai dengan nilai gajinya.

Ketika proses membawa speaker Dewan Rakyat sudah dicemari noda, usaha berperang dengan Covid-19 juga diseret dengan cemar yang lebih kurang sama.

Kata-kata seperti “kita belum menang” akan menjadi lelucon buat rakyat.

Pada masa sama ada ramai orang biasa, marhaen, yang dihukum kerana melanggar itu dan ini semasa perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Peraturan tidak dibuat untuk retorik macam partikel huruf wau dalam al-Quran.

Mungkin PAS sudah lupa membincangkan bab takut kepada doa orang yang dizalimi dalam usrah-usrah mereka sekarang. Dan tidak mustahil orang ramai akan melihat PAS pula sedang menzalimi orang lain.

Leave a Reply