Jabatan Kimia Kelantan bakal jadi pusat analisis ketum

Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Kelantan di Kampung Telok dijangka dijadikan pusat analisis ketum zon timur menjelang 2022, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata, perkara itu dicadangkan pihak Jabatan Kimia Kelantan memandangkan berlaku lambakan kes ketum di negeri ini yang menyumbang 40% tangkapan kes dadah di Kelantan.

“Perkara ini dicadangkan sendiri oleh Jabatan Kimia Kelantan memandangkan perkembangan semasa yang berlaku di sini. Dengan adanya hasil kajian daripada pihak Jabatan Kimia ini, ia akan banyak membantu pelbagai pihak.

“Kita di bawah Jabatan Kimia sendiri ada beberapa pusat antaranya pusat analisis DNA, pusat analisis air dan kini dicadangkan pula pusat untuk analisis ketum,” katanya kepada pemberita sempena perasmian bangunan Jabatan Kimia Kelantan hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia Mohamed Zaini Abdul Rahman.

Bangunan itu digunakan sejak 10 tahun lalu dengan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM31.7 juta.

Amzad berharap dengan adanya pusat analisis penting itu akan menyerlahkan lagi peranan jabatan yang kini sudah berusia 111 tahun.

“MOSTI melihat peranan yang dimainkan Jabatan Kimia Malaysia Kelantan penting selaras perkembangan pembangunan yang akan memerlukan lebih banyak perkhidmatan berkait jabatan kimia,” katanya.

Sementara itu, Zaini dalam ucapannya berkata bagi 2018 dan 2019, Jabatan Kimia Kelantan menerima masing-masing 2,477 dan 2,492 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 24 tan, tidak termasuk 5 tan untuk tahun ini.

Katanya, dengan mengambil kira peningkatan kes itu pihaknya mencadangkan penubuhan pusat berkenaan melibatkan kawasan zon timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu.

“Ia akan mempercepatkan urusan pihak berkuasa terutama polis, kastam, Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan agensi lain,” katanya. Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker