Ingkar kuarantin: Tindakan perlu diambil polis, bukan KKM – Dr Jemilah

Share

Tindakan penguatkuasaan ke atas mereka yang ingkar arahan kuarantin wajib di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) perlu diambil oleh agensi penguat kuasa seperti polis dan bukannya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata KKM hanya memastikan orang ramai mematuhi arahan di bawah Akta 342.

“Yang pertama kita kena faham. Akta 342 memang jelas. Tugas KKM ialah keluarkan arahan memastikan orang ramai patuh kepada arahan (di bawah Akta 342).


“Kalau ada yang tidak ikut arahan, KKM akan kemukakan masalah itu kepada peguam atau polis untuk mengambil tindakan,” katanya sebelum menyertai acara kayuhan anjuran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia di Putrajaya hari ini.

Dr Jemilah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengguna media sosial yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap KKM apabila Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dikompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah di bawah Akta 342 setelah pulang dari Turki pada 7 Julai.

Mengulas perkara ini, beliau berkata keadaan ini timbul kerana orang ramai salah faham.


Dr Jemilah berkata KKM telah menjalankan tugas dengan sangat baik dalam mengawal Covid-19 di negara ini.

“Kini semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan sangat penting dengan menjaga jarak dan memakai pelitup muka. Kita boleh menang,” katanya.

Semasa ditanya mengenai vaksin Covid-19, Dr Jemilah berkata vaksin yang dihasilkan perlu berkemampuan mencegah semua strain Covid-19 kerana dunia berhadapan dengan mutasi pandemik itu.


Mengenai acara kayuhan hari ini, Dr Jemilah berkata berbasikal merupakan aktiviti yang baik untuk mencegah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung yang agak tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

– Bernama

Leave a Reply