Ahli Pas wajib undi calon BN: Takiyuddin

Share

TANJUNG MALIM – Pas memberi arahan kepada ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon BN, Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kemenangan bergaya BN pada PRK DUN Slim amat penting dalam membuktikan rakyat mahukan kerajaan sedia ada dikekalkan.

Menurutnya, biarpun kemenangan di PRK DUN Slim tidak akan mengubah kedudukan kerajaan yang memerintah di Perak ini namun ia menjadi isyarat bahawa rakyat mahukan pemerintahan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).


“Walaupun PRK, kita mengharapkan calon kita, Mohd Zaidi akan memungut undi yang terbanyak. Bagi pihak Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu Pas bertanding menjadikan tiga penjuru di DUN Slim ini. BN mendapat 8,327 (undi), Bersatu 6,144 (undi) dan Pas mendapat 4,103 undi.

“Jadi saya, selaku Setiausaha Agung Pas mengarahkan dan mewajibkan kepada kesemua penyokong, pengundi ahli-ahli Pas keluar mengundi calon BN yang mewakili kita semua,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Bersama 5 Setiausaha Agung di Dewan Serbaguna Felda Trolak Utara, Sungkai, di sini, malam tadi.

Hadir sama pada program tersebut, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Takiyuddin Hasan; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan.


Sementara itu, Takiyuddin berkata, Muafakat Nasional (MN) merupakan satu-satunya formula yang ada untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya.

Menurutnya, penyatuan parti-parti di dalam MN merupakan satu hikmah sehingga mereka boleh membentuk kerajaan bersama di bawah PN.

Jelasnya, bermula dengan penyatuan ummah sehingga membawa kepada termeterainya MN dengan niat yang sama untuk menyelamatkan negara.


Beliau berkata, kerajaan dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggunakan tagline Prihatin Rakyat memastikan rakyat di semua peringkat tidak akan tertinggal dalam arus pembangunan.

Leave a Reply