Syed Saddiq tidak sertai Pejuang

BEKAS Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Abdul Rahman membayangkan beliau tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang baru ditubuhkan.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Muar itu membayangkan beliau akan menubuhkan satu gerakan pelbagai bangsa yang memberikan keutamaan kepada orang muda bagi memastikan suara dan kebimbangan golongan itu didengari.

“Perkara pertama, tidak kira apa yang berlaku, saya masih lagi menghormati dan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, dan itu tidak akan berubah. Saya tahu partinya berada di landasan yang benar dan beliau ikhlas berjuang.

Pada masa sama, saya masih lagi menghormati Muhyiddin (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana beliau yang membawa saya masuk ke bidang politik dan saya akan terus menyokongnya.



“Namun, saya rasa, sudah tiba masanya untuk pemimpin muda yang menyertai Bersatu sebelum ini, yang disingkirkan atau dipecat oleh parti diberi peluang kedua,” katanya kepada pemberita di Sungkai hari ini.

Rabu lalu, pemimpin Pejuang mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk mendaftarkan parti itu.

Tujuh pengasas Pejuang ialah Dr Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya; Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Ahmad.

Syed Saddiq berkata, beliau percaya ada ramai pemimpin muda yang disingkirkan daripada Bersatu boleh menubuhkan parti baharu.



“Ada ramai daripada mereka yang lebih baik daripada saya seperti Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin, (bekas) ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin dan mereka yang dipecat daripada parti.

“Walaupun saya masih belum menyertai parti itu, dan masih lagi Bebas, saya masih menyokong blok pembangkang. Pejuang dan saya masih lagi keluarga tetapi pada masa sama, ramai pemimpin muda yang perlu diberikan peluang untuk menerajui parti,” katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, gerakan pelbagai bangsa yang memberikan keutamaan kepada orang muda hanya akan ditubuhkan berdasarkan kepada suara majoriti orang muda di Malaysia.

“Kita akan tunggu pengumumannya. Ketika saya menyertai dunia politik, saya tidak pernah terfikir mengenai kuasa tetapi keutamaan saya ialah memastikan suara orang muda boleh didengari.



“Ia bukan mengenai sebuah parti tetapi jika perlu, kita akan mempunyai satu gerakan berasaskan orang muda. Bagaimanapun, ia bergantung kepada suara majoriti. Jawapannya terletak di tangan orang muda Malaysia,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker