Papagomo gesa timbalan menteri Bersatu letak jawatan

Terkini di My KMU !!!!---->

Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris menggesa timbalan menteri , Ikmal Hisham Abdul Aziz meletakkan jawatan susulan tular surat sokongan bagi memohon anaknya dilantik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam surat yang ditujukan kepada menteri pertahanan, Ismail Sabri Yaakob itu, Ikmal memohon agar anaknya, Ikmal Hazlan – yang juga exco Pemuda Umno- dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga Berhad.

“Dalam isu ni yang bersalah adalah bapaknya. Dengan kedudukan yang ada telah menyalahgunakannya untuk kepentingan keluarga.

“Adalah wajar timbalan menteri tersebut meletakkan jawatan dan berundur terus dari politik. Bukan sekali menyakitkan dan menyusahkan kami jentera yang berjuang bagai nak gila demi rakyat.

“Letak jawatan Datuk Seri Ikmal Hisham, Timbalan Menteri Pertahanan. (Bersatu),” tulis Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo di Facebook.

Untuk rekod, Ikmal Hisham yang merupakan anggota parlimen Tanah Merah mengumumkan keluar Umno pada 2018 selepas parti itu tewas dalam pilihan raya umum ke-14 dan kemudiannya menyertai Bersatu.

Bagaimanapun, anaknya, Ikmal Hazlan kekal besama Umno.

Ulas Azri, isu mengenai surat sokongan itu merupakan isu integriti yang serius dan akan menjauhkan lagi sokongan golongan muda kepada kerajaan sekarang.

Terdahulu, surat tersebut mengandungi nota sokongan yang ditulis Ismail kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang mengatakan dia bersetuju cadangan itu.

Ismail mengesahkan nota ‘saya setuju’ pada surat itu merupakan tulisan tangannya, dan sokongan itu dibuat kerana pengalaman Ikmal Hazlan dalam perniagaan dan politik.

Bagaimanapun, kerana bimbang timbulnya isu nepotisme, Ismail berkata dia tidak membuat langkah susulan bagi melantik Hazlan.

Ismail juga dilapor mengatakan surat sokongan tidak menjamin seseorang individu mendapat jawatan dalam mana-mana organisasi.

LTAT melalui Boustead Holdings merupakan pemegang saham utama dalam Pharmaniaga Bhd.

‘Batalkan hasrat lantik anak’

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan menyifatkan surat sokongan tersebut sebagai tidak wajar dan timbalan menteri terbabit wajar membatalkan hasratnya.

“Kalau surat tu betul memang tak wajar. No justification (tak perlu penjelasan) untuk surat-surat macam ni apatah lagi dengan pertalian keluarga.

“Kalau sahih la benda ni, elok dia batalkan hasrat atau kalau dah dilantik, resign (letak jawatan),” ciapnya di Twitter.

Mengulas lanjut, Shahril berkata selepas ini, mana-mana ahli politik tidak perlu dilantik memegang jawtaan GLC meskipun berkelayakan, kerana rakyat tidak suka perkara tersebut berlaku.

“Seelok-eloknya, lepas ni tak perlulah ahli politik pegang jawatan GLC. Kalaupun rasa diri memang layak sebab selain politik, hebat korporat kah, profesional kah, itu pun fikir 100 kali dulu.

“Rakyat memang tak suka,” ciapnya. Mkini

Surat sokongan bukan jaminan permohonan diterima – Ismail Sabri.

Leave a Reply