Mahkamah dapati Shafie hilang majoriti di DUN, kata peguam

Share

Peguam yang mewakili 33 Adun Sabah dalam saman terhadap Yang di-Pertua Negeri berkata, Mahkamah Tinggi di sini mendapati Ketua Menteri, Shafie Apdal hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Tengku Fuad Ahmad berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim menyatakan perkara itu dalam alasannya ketika menolak permohonan semakan kehakiman oleh kumpulan wakil rakyat itu terhadap keputusan Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN Sabah.

“Ini sangat baik bagi kita, sekurang-kurangnya dalam hal ini, hakim membuat keputusan berdasarkan alasannya Shafie sebenarnya sudah hilang majoriti,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.


“Shafie hanya mempunyai 2 pilihan di bawah Perkara 7 (1) Perlembagaan Sabah, iaitu meletak jawatan atau meminta pembubaran.”

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan semakan kehakiman 33 Adun Sabah terhadap persetujuan Juhar untuk membubarkan DUN.

Kumpulan Adun itu yang diketuai bekas ketua menteri, Musa Aman, memfailkan kebenaran untuk semakan kehakiman itu pada 3 Ogos lepas, bagi memohon injunksi terhadap pembubaran DUN.


Mereka turut mempersoalkan permohonan bertulis daripada Shafie kepada Juhar untuk pembubaran DUN pada 29 Julai lalu.

Shim menolak permohonan itu atas alasan keputusan Yang di-Pertua Negeri tidak boleh diadili di mahkamah.

Pemohon memfailkan dokumen untuk mencabar keputusan itu di Mahkamah Rayuan.


Tengku Fuad berkata, satu lagi keputusan positif ialah mahkamah mendapati 33 Adun itu berhak memohon kebenaran atas keputusan Juhar.

“Hakim mendapati 33 pemohon itu mempunyai locus standi untuk semakan kehakiman ini – jadi itu sangat bagus.

“Bagaimanapun, kami tidak bersetuju dengan hakim berhubung penggunaan perkataan ‘menasihati’ dan ‘memohon’.

“Kami akan bawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan kerana di Sabah, kami tidak bersetuju memohon dan menasihati ialah perkara sama.

“Ia mungkin sama di Perak atau Kedah, atau negeri-negeri Melayu, tetapi di negeri-negeri itu mereka ada Sultan. Dan di Sabah, kita ada gabenor yang bukan kerabat diraja.

“Jadi, arahan saya adalah untuk membuat rayuan dan makluman rayuan sudah difailkan pejabat saya 5 minit lepas.”. FMT

Leave a Reply