Agihan kerusi lawan PH akan dibincang bersama PN, kata Azmin

Badan bukan kerajaan (NGO) bekas ahli PKR yang menyokong PPBM diketui Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya akan berbincang dengan parti sekutu Perikatan Nasional (PN) untuk pembahagian kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

Azmin berkata, fokus utama kumpulannya yang kini menyertai PPBM akan bersama rakan PN melawan Pakatan Harapan (PH).

“Itu cadangan sahaja (kita nak tanding semua kerusi), mana boleh kita ambil semua sebab ini 1 gabungan, kita harus ada perbincangan, ada mesyuarat, hormat antara 1 parti dengan parti lain dalam gabungan dan inilah kekuatan yang ada dalam PN di mana kita sering bincang dengan rakanm dan anggota supaya ada 1 konsensus sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Tetapi yang penting 222 kawasan Parlimen ini akan kita tandingi lawan PH,” katanya dalam sidang media selepas Kongres Negara 2020 hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapannya yang mahu bertanding di semua 222 kerusi Parlimen dalam majlis itu.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak berkata, NGO pro PPBM dan PN yang digeraknya terdiri daripada Pemuda Negara, Penggerak Komuniti Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara akan membantu parti yang mentadbir kerajaan hari ini.

Kongres Negara bertema “Bersatu untuk Malaysia” itu turut dihadiri Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden PPBM.

Turut hadir rakan dari PN termasuk Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung MIC M Asojan, Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dan pimpinan tertinggi PPBM.

Mengulas ketiadaan wakil Umno Azmin berkata, pihaknya sudah menghantar jemputan dan parti itu memaklumkan mereka sedang menumpukan Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

Azmin berkata, kumpulannya juga akan ke Slim esok untuk membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN).

“Kita sudah maklum melalui surat jemputan tapi kita tahu mereka sibuk di PRK Slim, perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung BN Annuar Musa, mereka minta maaf sebab tak datang, tapi kita akan bersama untuk pilihan raya akan datang dan esok kita akan turun bantu kempen untuk menangkan calon BN di Slim,” katanya.

Mengulas kedudukannya untuk kekal bertanding di Parlimen Gombak dalam pilihan raya akan datang selepas akar umbi Umno BN dan PAS kawasan berkenaan mempunyai calon lain, Azmin berkata perkara itu akan dibincang secara konsensus.

Ketika ditanya khabar angin Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan bertanding di Gombak, Azmin berkata beliau sedia berdepan siapa sahaja daripada PH termasuk parti baru Pejuang diketuai Dr Mahathir Mohamad.

“Sesiapa pun boleh bertanding kalau Pejuang nak masuk Gombak silakan, akhirnya saya serah kepada pengundi Gombak, mereka akan tentukan bukan saya,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker