Usahawan IKS Melayu kembali ‘bernafas’ dengan bantuan kerajaan

Share

HAMPIR 70 peratus daripada 450,000 usahawan Melayu dalam Industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini tidak mampu mempertahankan perniagaan mereka lebih dua bulan sekiranya tidak mendapat suntikan bantuan daripada kerajaan berikutan pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, secara keseluruhannya terdapat 960,000 usahawan berdaftar dengan SME Corp dan daripada jumlah itu 53 peratus iaitu 450,000 adalah usahawan Melayu.

“Daripada 450,000 itu pula 70 peratus pula adalah terdiri daripada usahawan IKS yang majoritinya tidak mampu mempertahankan perniagaan mereka lebih dua bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Bagaimanapun, kita berterima kasih atas keprihatinan kerajaan yang menyediakan pelbagai pakej rangsangan dan pelan pemulihan bagi membantu usahawan terbabit untuk terus bertahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Mesyuarat Agung Penubuhan DPMM Pulau Pinang (DPMMPP) di Penang Golf Resort, Bertam di Kepala Batas, hari ini.

DPMMPP ditubuhkan semula di bawah kepimpinan baharu selepas dibubarkan pada 26 Februari lalu.

Norsyahrin berkata, bantuan yang disediakan kerajaan sekurang-kurangnya mampu memberi kelegaan kepada usahawan kecil untuk meneruskan perniagaan dalam keadaan tekanan ekonomi yang sangat mencabar.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung urusan penstrukturan atau pembiayaan semula pinjaman selepas tempoh moratarium berakhir pada 30 September ini.

“Selain itu, DPMM juga berharap supaya BNM tidak mengambil kira rekod laporan CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat ) dan CTOS (CTOS Data System Sdn Bhd)

“Situasi Covid-19 bukanlah disebabkan kecuaian atau kelemahan pengurusan kewangan peniaga tetapi ia masalah global yang di luar jangka.

“Jadi tidak wajar sekiranya usahawan atau peniaga yang terjejas dibebani dengan rekod CCRIS dan CTOS yang mana jika mereka disenaraikan ia boleh diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua DPMMPP, Mohd Perdaus Pawan Chik berkata, beliau akan bekerja keras bersama jawatankuasanya bagi membantu usahawan Melayu yang terkesan akibat Covid-19.

“Usahawan Melayu negeri ini boleh berhubung dengan DPMMPP melalui pelbagai saluran antaranya email untuk memberitahu permasalahan yang dihadapi mereka,” katanya. HM

Leave a Reply