Cikgu ‘korek rahsia’ pelajar dedah mangsa dirogol abang kandung

Tindakan seorang guru kaunseling ‘mengorek rahsia’ salah seorang pelajar, akhirnya membongkarkan tindakan terkutuk abang kandung anak didiknya itu.

Pelajar tingkatan tiga itu mendedahkan dia dirogol oleh abang kandungnya yang berusia 16 tahun, kira-kira pukul 10 malam, pada 26 Julai lalu di rumah mereka di Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal memberitahu, guru berkenaan kemudiannya membuat aduan mengenai kejadian itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).



Bertindak atas aduan pada kira-kira pukul 7.30 petang, Rabu lalu itu katanya, JKM membawa pelajar itu ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati terdapat kesan koyakan lama pada alat sulit mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Nik Ezanee turut memaklumkan, mangsa dan seorang lagi adik perempuannya kini diletakkan di bawah jagaan JKM sementara polis menjalankan siasatan.

Berdasarkan maklumat itu, kata beliau, polis menahan abang kandung mangsa di tepi Jalan Universiti, Petaling Jaya pada pukul 12.01 tengah malam Khamis.



Beliau memberitahu, pelajar tingkatan empat itu kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram dijalankan.

Jika disabit bersalah, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan disebat. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker