Bung: 85% wakili BN di PRN Sabah muka baru, anak muda

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin memberi jaminan 85 peratus muka baru dan daripada kalangan belia bakal bertanding mewakili gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah kelak.

Tambahnya, muka baru dan belia yang dipilih juga terdiri daripada mereka yang belum pernah bertanding.

“Saya sudah beri jaminan dari awal, dari 100 peratus, 85 peratus muka baru dan anak muda dari orang yang belum pernah bertanding (akan menjadi calon PRN Sabah),” katanya menerusi wawancara bersama portal SuaraTV hari ini.

Jelas Bung, hanya 15 peratus sahaja dari golongan sudah bertanding akan dicalonkan setelah melihat kepada beberapa kriteria.

“[…] kita akan lihat kalau rakyat masih mahu (golongan yang sudah bertanding), kita akan calonkan,” katanya lagi.

Dia berkata demikian setelah ditanya faktor pemilihan calon yang bakal mewakili BN pada PRN Sabah.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Sept untuk hari penamaan calon, manakala hari pengundian pada 26 Sept.

Selain itu, Bung yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan mengambil maklum bahawa impak belia memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara.

“Hari ini kita faham anak-anak muda bukan seperti dulu lagi, mereka harus dijadikan pemimpin negara.

“Jadi kita masukkan dalam perjanjian baru supaya anak muda ada keyakinan kepada BN dan Umno dan jika BN tidak mampu menerapkan anak muda dalam masa lima tahun, rakyat boleh tendang kami keluar,” katanya lagi.

“Warisan, Shafie tak akan dapat umpan rakyat’

Mengulas berkenaan tindakan bekas ketua menteri Sabah Mohd Shafie Apdal menyerahkan geran tanah kepada Orang Asal menjelang PRN, Bung berkata perkara itu diusahakan oleh BN namun tidak sempat dilaksanakan ekoran kehilangan tampuk pentadbiran kerajaan negeri selepas pilihan raya lalu.

“Saya melihat ini bukan satu kerja luar biasa ini kerja biasa. Memang ini apa yang diusahakan BN dulu cuma tak sempat buat sebab kerajaan sudah bertukar.

“Saya tak nampak pemberian (geran) tanah boleh dijadikan umpan oleh Warisan dan Shafie untuk menarik minat rakyat. Cuma dia bagi masa dekat-dekat pilihan raya seolah-olah nampak macam buah tangan dari kerajaan negeri dulu,” tambahnya.

Pada 12 Ogos lalu, media melaporkan bahawa Shafie menjelajah negeri di bawah bayu itu untuk menyerahkan pemilikan tanah kepada penduduk Orang Asal.

Pada masa itu, Shafie dilapor telah menyerahkan 1,309 geran tanah adat negeri (NT) sepanjang tempoh jelajah.

Bagaimanapun, ahli parlimen Semporna itu menafikan tindakannya untuk memancing undi menjelang pilihan raya negeri.

Katanya, dia dan agensi-agensi kerajaan negeri dibenarkan menjalankan tugas selagi SPR belum mengeluarkan writ pilhan raya. Mkini

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker