1 kluster baru dikesan dalam 9 kes Covid-19 hari ini

Satu kluster baru dikesan dengan 9 kes baru dilaporkan hari ini membabitkan 5 kes penularan tempatan dan 4 lagi kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baru itu dinamakan kluster Maju di Kuala Lumpur dengan 3 kes positif dikesan setakat ini.

Katanya, 4 kes import baru itu membabitkan masing-masing seorang warga Filipina dan Austria di Kuala Lumpur serta warga India dan Indonesia di Selangor.

Ads by Streamlyn

“Daripada 5 kes penularan di dalam negara, 4 adalah warganegara dan seorang warga asing, iaitu kes saringan
sebelum pulang ke negara asal.

“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 4 daripada 5 kes penularan tempatan itu membabitkan 3 kes kluster Tawar di Kedah dan satu kes kluster Maju di Kuala Lumpur.

Kluster Maju

Hisham berkata, kluster Maju dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa dengan 2 kes pertama dilaporkan 16 Ogos lalu membabitkan pekerja restoran itu hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan di sekitar ibu kota.

Katanya, saringan kontak rapat mendapati seorang pelanggan restoran itu yang mengalami gejala sakit tekak dan kepala sejak 17 Ogos lalu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Setakat ini, 672 orang telah disaring, termasuk 16 pekerja dan 656 pelanggan. Daripada jumlah ini, 3 kes positif dan 669 individu negatif.

“Aktiviti pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat diteruskan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyahkuman dan nyahcemar sudah dijalankan di kedai makan itu.”

Kluster Tawar

Hisham berkata, keseluruhan kes positif kluster Tawar meningkat kepada 58 orang, susulan pengesanan 3 kes baru.

Katanya, 2,733 orang disaring di Kedah setakat 12 tengah hari tadi, dengan 47 kes positif, 1,985 individu negatif dan 224 orang masih menunggu keputusan.

Di Pulau Pinang, 11 kes positif dikesan daripada 466 orang yang disaring, manakala 430 individu negatif dan 25 lagi menunggu keputusan.

Di Perak, 11 orang yang disaring semuanya negatif.

Hisham berkata, terdapat 179 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dengan 7 daripadanya sedang dirawat di unit rawatan rapi dan 4 memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, 13 pesakit pulih hari ini, menjadikan keseluruhan 8,945 daripada 9,249 kes positif sudah sembuh setakat ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker