Siasat penyebaran video ‘ayah masak ketum’: NUTP

PENYEBARAN video kanak-kanak sekolah yang menjawab soalan guru dengan berkata bahawa bapanya pandai masak air ketum tidak wajar dan tidak sepatunya berlaku.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang berkata, beliau sudah melihat video yang tular di media sosial pagi tadi dan masih belum mengetahui punca sebenar bagaimana video berkenaan boleh tular.

Menurut beliau, perkara itu di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan dan NUTP memandang serius perkara itu kerana membabitkan kanak-kanak bawah umur.

“Perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana boleh mencemarkan maruah keluarga dan kanak-kanak terbabit, ” katanya ketika dihubungi di Putrajaya, hari ini.

Video tular hari ini menunjukkan murid sekolah berkata bapanya pandai masak air ketum apabila menjawab soalan gurunya.

Amiruddin berkata, pihaknya akan menunggu maklumat lengkap berkenaan video yang tular itu sama ada ia dilakukan oleh pihak lain.

Menurut beliau, sekiranya perkara itu dilakukan oleh guru, ianya sesuatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana membabitkan hal ehwal murid dan pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan bagi membuat siasatan.

Katanya, beliau turut menasihatkan guru agar berhati-hati dengan kecanggihan teknologi masa kini supaya tidak melakukan perkara di luar batasan yang boleh menjejaskan institusi perguruan.

“Buat masa ini kita menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk membuat siasatan dan motif sebenar ia ditularkan,” katanya. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker