Saya yakin 6 wakil rakyat kami “tak kebuloq” nak masuk Bersatu

Share

Tidak ada pemimpin Amanah yang berminat menyertai Bersatu, terutama ketika parti berkenaan menyaksikan ramai anggota dan pimpinannya meninggalkan mereka, kata Dr Mujahid Yusof.

Naib presiden Amanah itu menjelaskan Bersatu merupakan sebuah parti yang tidak mampu bergerak lebih jauh dengan tindakan mereka ketika ini.

“Siapa nak masuk Bersatu? Hari ini orang pakat keluar berduyun-duyun. Siapa nak masuk Bersatu? Bersatu ini dia tak akan ke mana,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.


Mujahid yang juga anggota parlimen Parit Buntar berkata demikian semasa berceramah di Felda Gunung Besout 4, Sungkai, sempena Pilihan Raya Kecil Slim.

Turut hadir anggota Jawatankuasa Amanah Nasional, Hanipa Maidin; Adun Behrang, Aminuddin Zulkifli; dan calon bebas yang mendapat sokongan pembangkang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Terdahulu Mujahid mengulas dakwaan kononnya ada enam anggota parlimen Bersatu akan melompat ke Bersatu.


“Saya yakin enam orang wakil rakyat ini tak kebuloq (teringin) nak masuk Bersatu,” kata Mujahid.

Kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak ada sebab wakil rakyat Amanah berminat menyertai parti yang tidak ada masa depan dan mengkhianati mandat rakyat.

Katanya ramai anggota Bersatu kini menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad.


Menurut Mujahid Bersatu merupakan parti yang tiada nilai kerana ketika ini ia hanya mengharapkan belas kasihan Umno dan Pas.

Malah Mujahid mendakwa Bersatu sedang menunggu masa untuk dibubarkan dan kemudian semua ahli serta pemimpinnya akan kembali menyertai Umno.

Leave a Reply