Munasabah Bung Moktar ketuai PRN, kata Zahid

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menegaskan adalah munasabah bagi pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin mengetuai jentera parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, semua pihak dalam BN walaupun mempunyai pandangan berlainan perlu bersama memenangkan parti itu pada PRN 26 September depan.

“Benar perbezaan pendapat itu harus diraikan, tetapi kita harus menghormati keputusan yang ditentukan di mana pengerusi Umno Sabah dan pengerusi BN Sabah merupakan lantikan yang dibuat oleh saya sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

“Maka, tentulah lebih munasabah mana-mana pengerusi badan perhubungan negeri dan juga pengerusi BN negeri mengetuai jentera yang ada dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), apatah lagi PRN,” katanya kepada pemberita ketika hadir program ramah mesra di Besout 3 hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa pemimpin Umno Sabah yang tidak bersetuju dengan pelantikan Bung dalam mengetuai jentera BN menghadapi PRN Sabah kerana mempunyai kes di mahkamah.

Zahid berkata, semua pihak dalam BN perlu mencari jalan terbaik supaya berada dalam 1 wadah perjuangan sama, serta tidak memberi kekuatan kepada musuh politik parti itu.

“Mereka tentu mahu melihat perpecahan berlaku dalam kalangan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid berkata beliau sudah berunding dengan timbalan dan naib presiden Umno selain ahli Majlis Kerja Tertinggi dan pengerusi Umno negeri serta menteri dan timbalan menteri persekutuan daripada BN untuk membantu kempen di zon yang ditetapkan di Sabah.

Mengenai pembahagian kerusi, Zahid berkata perkara itu belum dimuktamadkan dengan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) dan begitu juga pembahagian calon dalam kalangan sayap parti berkenaan.

“Namun, saya yakin apa yang telah saya bincangkan dengan kepimpinan Umno Sabah agar semua faktor mewakili peringkat umur, golongan profesional dan juga muka baharu akan diberikan keutamaan supaya wajah perubahan pada kali ini akan dapat memberikan harapan baharu kepada pengundi di Sabah,” katanya.

ADVERTISING

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah pada 12 September manakala pengundian awal pada 22 September.

Mengenai hasrat PPBM menyertai Muafakat Nasional (MN) mendapat maklum balas kurang baik daripada ahli Umno peringkat akar umbi, Zahid berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat biro politik Umno dan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi untuk keputusan.

“Kami tetap mendengar suara akar umbi dan saya mohon supaya semua akar umbi dapat memberikan kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi Umno dalam sebarang keputusan. Kami mengambil kira suara akar umbi dan juga kepentingan masa depan MN,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker