Gelang pink – Warga Perancis dibenar kuarantin kendiri, kata OCPD Langawi

Seorang warga Perancis yang dilihat memakai gelang pink di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sedang dalam perjalanan untuk kuarantin kendiri di rumahnya di Langkawi.

“Siasatan mendapati subjek telah menaiki pesawat Qatar Airways dari Paris pada 19 Ogos 2020 ke Doha dan seterusnya terus ke KLIA menaiki pesawat yang sama. Subjek telah tiba ke KLIA pada 20 Ogos 2020.

“Di KLIA subjek telah disaring oleh pihak KKM KLIA dan keputusan saringan tersebut adalah negatif Covid-19.

“Seterusnya subjek diarahkan supaya membuat self quarantine di rumahnya,” kata OCPD Langkawi Mohd Iqbal Ibrahim pada suatu kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis telah dimaklumkan mengenar kehadiran warganegara Perancis itu di lapangan terbang Langkawi oleh seorang pegawai polis bantuan yang melihat lelaki berusia 64 tahun itu memakai gelang merah jambu.

Siasatan polis juga mendapati Kementerian Kesihatan telah mengarahkan lelaki itu untuk menghadirkan diri di Pusat Persediaan dan Kecemasan Krisis Nasional (CPRC) Kedah pada 1 September.

Lelaki itu dikehendaki menjalani ujian sapuan Covid-19 kedua pada 2 September, kata Iqbal.

“Pihak KKM Langkawi telah berhubungan dengan KKM KLIA dan telah mendapat kebenaran untuk subjek membuat self quarantine dialamatnya,” jelas Iqbal lagi.

Beliau berkata pihak polis dan KKM Langkawi akan membuat pemantauan ke atas subjek di alamat tersebut “dari masa ke semasa untuk memastikan subjek mematuhi perintah kuarantin yang telah ditetapkan.”

“Nasihat saya agar, mohon netizen jangan panik dan sentiasa mengamalkan SOP KKM sepanjang berada di Pulau Langkawi,” kata beliau lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah untuk menjelaskan mengapa warganegara Perancis ini dibenarkan untuk kuarantin kendiri di rumah.

Ini kerana kerajaan telah mewajibkan setiap orang yang pulang dari luar negara bermula dari 24 Julai untuk menjalani kuatantin selama 14 hari di pusat-pusat yang ditentukan.

Ia dilaksanakan setelah sejumlah kes individu tidak mematuhi arahan kuarantin di rumah sebelum ini dan ada yang dilihat di tempat awam semasa tempoh kuarantin mereka.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker