Dap Sarawak buat provokasi dalam isu bahasa

Tindakan DAP Bermain Isu Bahasa Boleh Cetuskan Ketegangan Kaum

1. Pemuda PBB kesal dengan tindakan DAP yang tidak menghormati undang-undang, melakukan vandalisme secara terang-terangan terhadap papan tanda jalan di sekitar Kuching, malah mendabik dada dengan perbuatan mereka itu apabila memviralkan perbuatan itu di media sosial.

2. Tindakan DAP meletakkan tulisan bahasa Mandarin atau tulisan Cina ke atas beberapa nama jalan di sekitar Kuching, tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan, jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1953/1967, yang menetapkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk pada papan tanda nama jalan.

3. Tindakan DAP yang sengaja mengeksploitasi bahasa Cina juga boleh mencetuskan ketegangan dan boleh dianggap bermotif menghasut, kerana sesuatu kaum akan pantas bangkit jika bahasa, budaya dan agama kaum itu digunakan sebagai ‘senjata’.

4. Di bawah Akta Hasutan 1948, sesiapa yang dianggap cuba menghasut dengan membangkitkan isu berkenaan sehingga mencetuskan suasana tegang, konflik dan menggugat keselamatan, boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

5. Pemuda PBB percaya semua rakyat Sarawak yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama, sayang akan bahasa dan budaya masing-masing, namun pada masa sama, semua kita harus menghormati perlembagaan dan bahasa kebangsaan. Semua kita harus bersikap realistik dalam perkara ini dan terus mempertahankan keharmonian kaum yang kita nikmati selama ini.

6. DAP yang ketandusan modal selepas mereka gagal menunaikan segala janji dalam manifesto PRU-14 apabila diberi peluang memerintah negara, jelas amat terdesak menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-12 sehingga sanggup mempolitikkan isu bahasa Cina hanya untuk kepentingan peribadi dan parti semata-mata. Budaya politik negatif sebegini sememangnya tidak diterima di Sarawak yang amat menghargai perpaduan.

7. Justeru pihak berkuasa tempatan harus mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat sebelum ia mencetuskan suasana kurang senang di kalangan masyarakat, sekaligus menguggat keharmonian kaum di negeri ini.

YB Fazzrudin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Pemuda PBB
(20 Ogos 2020)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker