Bersatu Sabah harap kemelut Umno negeri selesai segera

Bersatu Sabah berharap Umno negeri itu dapat menyelesaikan masalah dalaman mereka menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang dijadual berlangsung bulan depan.

Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor, berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai kenyataan anggota Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman, berkaitan pelantikan pengarah pilihan raya partinya untuk PRN Sabah.

Pada dasarnya, Hajiji enggan memberikan ulasan lanjut mengenai kemelut berkenaan kerana menganggapnya sebagai isu dalaman Umno.

“Tetapi harapan kita ialah supaya mereka boleh selesaikan masalah dalaman itu dalam menghadapi pilihan raya,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.



PRN Sabah dijadual berlangsung pada 26 Sept manakala hari penamaan calon ialah kira-kira dua minggu sebelum itu.

Ketika semua parti mengadakan persediaan rapi, Abdul Rahman pada 17 Ogos lalu mengadakan sidang media untuk menyuarakan pandangannya mengenai pelantikan Bung Moktar Radin mengetuai parti itu berdepan dengan Warisan.

Abdul Rahman menganggap pelantikan berkenaan sebagai langkah membunuh diri. Katanya, tiada mana-mana pihak dalam dunia akan melantik seseorang yang menghadapi kes mahkamah mengetuai partinya menyertai pilihan raya.

Pun begitu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mempertahankan pelantikan berkenaan.



Untuk rekod Bung Moktar – juga menjadi pengerusi BN Sabah – sedang dibicarakan atas tiga tuduhan rasuah membabitkan nilai RM2.8 juta.

Sementara itu ditanya mengenai kedudukan Bersatu di Sabah, Hajiji berkata keanggotaan mereka kini seramai 105,000 orang dan dijangka terus meningkat berdasarkan keadaan semasa.

Katanya Bersatu Sabah menerima banyak borang permohonan dari seluruh negeri untuk menyertai parti berkenaan.

“Jangkaan kami sehingga hujung tahun ini Bersatu Sabah boleh mendapat hampir 200,000 anggota.



“Ini menunjukkan Bersatu diterima baik oleh rakyat Sabah,” katanya.

Related Articles

One Comment

  1. sungguh menakjubkan jumlah ahli parti bunga di Sabah…105 ribu ahli itu lebih dari cukup untuk dibahagikan menjadi jentera berkempen bagi membantu memenangkan calon parti bunga yang bertanding dalam PRN…nampaknya UMNO tidak perlu bersusah-payah mengarahkan ahlinya bantu jentera parti bunga, boleh le fokus 100% dengan jentera sendiri untuk berkempen membantu calon sendiri

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker